Tawaran Kadar Kompaun Khas Flat Rate RM150 Dilanjut Hingga 31 Dis - JPJ
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

3 Julai 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melanjutkan tempoh Tawaran Bayaran Kadar Kompaun Khas Flat Rate RM150 sehingga 31 Disember ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, lanjutan itu melibatkan tiga kategori notis saman iaitu saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) yang bermula Oktober 2018, Notis 114 (notis temu siasat) dan Notis 115 (permintaan butir-butir pemandu) dari tahun 2024 dan ke bawah.
Katanya, setakat 30 Jun sebanyak 442,870 saman telah berjaya diselesaikan menerusi tawaran bayaran Flat Rate sejak diperkenalkan pada 2 Januari.

"Berdasarkan rekod, masih terdapat 2.03 juta saman belum dijelaskan dengan Saman AwAS merekodkan jumlah tunggakan tertinggi iaitu lebih 1.5 juta, diikuti Notis 114 sebanyak 311,866 dan 171,321 Notis 115," katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Beliau berkata, kegagalan menjelaskan saman yang boleh dikompaun sama ada tertunggak atau melebihi tarikh kompaun boleh menyebabkan kenderaan disenarai hitam secara automatik menerusi sistem JPJ bermula 1 Julai.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar tidak melepaskan peluang pelanjutan ini dan segera menyelesaikan saman tertunggak sebelum tempoh tawaran berakhir.
JPJ sebelum ini mengenakan kompaun sebanyak RM300 bagi ketiga-tiga kategori saman tersebut, dan pelaksanaan kadar rata RM150 ini adalah satu usaha menggalakkan penyelesaian tunggakan.
Orang ramai boleh menyemak dan membuat bayaran saman menerusi aplikasi mudah alih MyJPJ, portal awam MySIKAP, kiosk JPJ, kaunter bergerak JPJ dan kaunter JPJ di seluruh negara.
Comments