Tawaran kerjasama bi-partisan oleh Muhyiddin tidak “genuine” : Ewon
- Wartawan Nabalu News
- Aug 15, 2021
- 2 min read

15 Ogos 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyifatkan tawaran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan kerjasama bi-partisan tidak "genuine".
Beliau berkata demikian bagi mengulas saranan terbuka Presiden STAR, Datuk Dr.Jeffrey Kitingan dan Presiden PBS, Datuk Dr.Maximus Ongkili agar tawaran kerjasama itu diterima semua pihak.
“Tawaran Muhyiddin itu tidak genuine. Saya amat yakin tawaran kerjasama bi-partisan itu dibuat bukan lagi berniat untuk menstabilkan politik negara, sebaliknya memanjangkan hayat kepada teraju kepimpinan negara yang tidak kompeten sama sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam laporan media baru-baru ini, Maximus dipetik sebagai berkata, semua pihak perlu bersama-sama membawa negara ini maju ke hadapan sebagai tanda komitmen solidariti.
Beliau juga menyarankan parti pembangkang merebut peluang kerjasama rentas politik bagi mendahulukan keperluan negara dan mengutamakan kestabilan ekonomi serta politik.
Sementara itu Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyifatkan tawaran Perdana Menteri untuk bekerjasama dengan pembangkang sebagai sikap diplomatik terpuji yang wajar diterima demi kestabilan politik di negara ini.
Bagaimanapun katanya, pendapat rakyat Sabah dan Sarawak berhubung usaha menyelesaikan kemelut politik juga sepatutnya diambil kira.
“Kita di Sabah dan Sarawak seolah-olah hanya menjadi penonton drama politik dan apabila semuanya sudah selesai, kita diminta supaya terima apa sahaja yang ahli politik di Kuala Lumpur rasa adalah yang terbaik untuk Malaysia,” kata Jeffrey.
Ewon yang Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, pemimpin Sabah seharusnya berada di hadapan bersama para pemimpin pusat untuk mengurus negara.
“Amat menyedihkan bagi pemimpin Sabah dalam kerajaan PN kerana mereka seolah-olah tidak dipedulikan dan sekadar menjadi penonton.
“Jeffrey merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), manakala Maximus adalah sekutu PN tetapi pandangan mereka tidak diminta langsung, ini merupakan satu penghinaan kepada penyertaan anda dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin,” kata Ewon.
Katanya lagi, Maximus merupakan menteri bertanggungjawab ke atas portoflio hal Sabah dan Sarawak tetapi Muhyiddin tidak menyebut satupun mengenai hak dan kepentingan Sabah dalam tawaran kerjasama bi-partisan itu.
“Saranan kedua-dua pemimpin Sabah dalam PN itu agar pihak pembangkang menerima tawaran kerjasama bi-partisan tidak masuk akal kerana pandangan mereka sendiri dalam perkara itu tidak diambil peduli,” katanya.
Sebab itu Ewon berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh mengambil ikhtibar daripada ketidakpedulian Muhyiddin terhadap Sabah dan ketidak-kompetenan beliau sebagai Perdana Menteri.
“Jangan salahkan pemimpin-pemimpin parti pembangkang apabila kerajaan anda bercelaru, tidak stabil dan tidak kompeten. Tanggungjawab kami untuk menyemak urustadbir anda, samada anda kompeten atau tidak untuk mengurus krisis negara,” katanya.


















Comments