top of page
  • nabalunews

Tawaran Muhyiddin / Mahiaddin Tidak Genuine, Sebab Itu STAR dan PBS Jadi Penonton Sahaja Dalam PN


15 Ogos 2021


1. Media melaporkan saranan Datuk Jeffrey Kitingan, Presiden STAR untuk menerima tawaran kerjasama bi-partisan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin / Mahiaddin Yassin pada Jumaat lepas.


2. Dalam laporan media yang sama, Jeffrey mengatakan tidak ada yang meminta pandangan pemimpin Sabah dan seolah-olah hanya menjadi penonton semata-mata


3. Media juga melaporkan saranan sama daripada Datuk Maximus Ongkili, Presiden PBS agar parti pembangkang merebut peluang kerjasama rentas politik demi negara.


4. Ironinya, Maximus merupakan menteri bertanggungjawab ke atas portoflio hal Sabah dan Sarawak tetapi tidak satupun disebut mengenai hak dan kepentingan Sabah (de-centralization of power, borneonisasi perkhidmatan awam persekutuan, pemulangan hasil persekutuan 40%, royalti minyak, update mengenai 20 perkara berkenaan kepentingan Sabah, dan banyak lagi) dalam tawaran kerjasama bi-partisan oleh Muhyiddin tersebut. Malah selepas satu tahun lebih di portfolio tersebut, kitapun tidak tahu pencapaian yang dicapai oleh kerajaan PN berkenaan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.


5. Jeffrey merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), manakala Maximus adalah sekutu PN.


6. Ini adalah kerajaan anda! Menjadi pemerhati semata-mata dan apatah lagi pandangan anda tidak diminta langsung merupakan satu penghinaan kepada penyertaan anda dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin / Mahiaddin.


7. Tawaran Muhyiddin / Mahiaddin itu tidak genuine. Saya amat yakin tawaran kerjasama bi-partisan itu dibuat bukan lagi berniat untuk menstabilkan politik negara, sebaliknya memanjangkan hayat kepada teraju kepimpinan negara yang tidak kompeten sama sekali!


8. Untuk Jeffrey dan Maximus membuat saranan menerima kerjasama bi-partisan sedangkan Muhyiddin / Mahiaddin tidak kisah langsung dengan pandangan anda adalah sesuatu yang tidak masuk akal.


9. Kalau niat itu genuine, sudah pasti kerjasama bi-partisan dibuat pada awal penubuhan kerajaan PN.


10. Sebab itu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga boleh mengambil ikhtibar daripada ketidakpedulian Muhyiddin / Mahiaddin terhadap Sabah dan ketidak-kompetenan beliau sebagai Perdana Menteri.


11. Adakah Jeffrey dan Maximus pula akan membuat saranan kerjasama bi-partisan kepada kerajaan GRS di Sabah? Jika ianya untuk negara (dan rakyat), maka kerajaan GRS harus membuat tawaran kerjasama bi-partisan itu sekarang demi rakyat Sabah yang tidak dipedulikan oleh Muhyiddin / Mahiaddin.


(kalau Muhyiddin / Mahiaddin tidak kisahpun dengan pandangan Jeffrey, usahlah yakin yang beliau akan kisah dengan nasib rakyat Sabah).


12. Jangan salahkan pemimpin-pemimpin parti pembangkang bila kerajaan anda bercelaru, tidak stabil dan tidak kompeten. Tanggungjawab kami untuk menyemak urustadbir anda, samada anda kompeten atau tidak untuk mengurus krisis negara.


13. Sedangkan anda bergaduh sesama sendiri dalam kerajaan. Tawaran kerajaan anda ditolak sendiri oleh parti gabungan kerajaan anda sendiri. Bukankah itu jelas menyerlahkan kelemahan kepimpinan Muhyiddin / Mahiaddin?


14. Pemimpin Sabah harus berada di hadapan untuk mengurus negara, sama seperti semasa negara ini ditubuhkan dahulu. Kasihan dan amat malang pemimpin Sabah dalam PN merasakan hanya menjadi penonton semata-mata kerana pandangan mereka tidak diminta langsung!



Ewon Benedick

ADUN Kadamaian

Naib Presiden UPKO

Comments


bottom of page