top of page
Writer's pictureMarryan Razan

Tawaran reformasi PM perlu dipertimbang dengan syarat: Lim Guan Eng


12 Sept 2021 Oleh Marryan Razan KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, kehilangan nyawa dan mata pencarian akibat peningkatan kematian dan jangkitan Covid-19 serta keadaan ekonomi yang mendesak antara faktor utama dalam mempertimbangkan reformasi institusi oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Ahli Parlimen Bagan itu berkata, ini adalah masa yang sangat genting untuk Malaysia dengan rekod tertinggi 592 kematian menjadikan jumlah kematian menjadi 20,419 yang tragis pada 11 September 2021 dan jumlah jangkitan hampir mencecah angka 2 juta dengan 1,955,881 kes. “Keadaan ekonomi tidak bertambah baik tetapi semakin merosot bagi ramai orang dengan perniagaan ditutup, terutamanya PKS, dan pekerja kehilangan pendapatan atau pekerjaan serta keluarga yang porak peranda. “Di bawah krisis nasional yang begitu parah, ada keperluan mendesak untuk mencari landasan bersama bagi kebaikan semua untuk menang dalam pertempuran melawan Covid-19 dan kemelesetan ekonomi demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Lim berkata, Covid-19 telah melanda setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang. Beliau berkata, penderitaan rakyat perlu diutamakan, meskipun adanya ketidakpercayaan sama ada janji-janji reformasi tersebut akan ditunaikan, tawaran reformasi oleh Perdana Menteri perlu dipertimbangkan dengan syarat ia memiliki garis masa pelaksanaan yang ditetapkan dan disertai dengan pembaharuan dalam ekonomi dan penjagaan kesihatan awam. “Ini tidak hanya merangkumi Pelan Pemulihan Ekonomi berjumlah RM45 bilion dan pengecualian faedah semasa tempoh moratorium pinjaman bank atau Pelan Reset Covid-19 Negara untuk mengurangkan kematian dan jangkitan. “Perlu ada pendekatan keseluruhan masyarakat terhadap reformasi dalam politik, ekonomi dan penjagaan kesihatan awam dengan fokus bersama yang melibatkan masyarakat sivil untuk menang dalam pertempuran melawan Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi yang sedang tenat. “Mengetepikan kepentingan politik untuk mengambil pendekatan bipartisan bukanlah mudah. Tetapi kita perlu berani berusaha demi menyelamatkan bukan sahaja anak muda tetapi juga masa depan anak muda negara,” katanya.

Comments


bottom of page