TAWAU: 25,000 PEKERJA ASING LAYAK IKUTI SARINGAN COVID-19 PERKESO

9 DIS 2020
TAWAU: Seramai 25,157 pekerja asing di Tawau, Kunak serta Semporna yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), layak mengikuti program saringan COVID-19 PERKESO pada 16 Dis ini.
Ketua Pejabat PERKESO Tawau Joseph Immanuel berkata, saringan menggunakan kaedah Rapid Test Kit (RTK) Antigen yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia dan kit ujian yang dibiayai PERKESO itu, bertujuan membendung penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing.
“Pada program ini, seramai 1,831 majikan yang mencarum untuk 25,157 pekerja asing Indonesia dan China ini, hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital sahaja,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Setakat ini, katanya PERKESO melantik 25 panel klinik dan hospital swasta di Sabah, bagi melaksanakan program berkenaan dengan syarat ujian saringan itu hanya terhad sekali untuk setiap pekerja.
“Di Tawau, terdapat tiga panel klinik iaitu Chong Clinic, Klinik Dr. Priya dan Klinik Mabello Tawau, manakala dua lagi berada di Kunak iaitu, Klinik Dnar dan Klinik Mabello Kunak,” katanya yang turut mengingatkan majikan agar membuat janji temu awal bagi mengelakkan kesesakan semasa saringan.
Mengenai bayaran perkhidmatan yang perlu ditanggung majikan itu, Joseph berkata majikan boleh berunding dengan klinik atau hospital, bagi penetapan harga perkhidmatan.
Selain itu, katanya bagi pekerja asing yang tidak mencarum dengan PERKESO, masih boleh melakukan ujian saringan COVID-19, tetapi kos itu perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.
Immanuel berkata program saringan berkenaan akan dijalankan secara bersasar mengikut lokaliti zon merah, yang mempunyai kepadatan pekerja asing yang tinggi.
Program itu dimulakan pada 1 Dis di Klang dan Seremban, sementara zon merah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bermula hari ini.
Pada 16 Dis, program saringan COVID-19 bagi pekerja asing diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, selain Sabah. - Bernama
Comments