Teks penuh ucapan perbahasan Belanjawan Sabah 2024 oleh Ewon
top of page
  • nabalunews

Teks penuh ucapan perbahasan Belanjawan Sabah 2024 oleh Ewon



Tuan Yang Di-Pertua,


1. Saya ingin mengucapkan syabas kepada Kerajaan Sabah dan YB Menteri Kewangan di atas pembentangan surplus budget Belanjawan 2024 di Dewan ini pada Jumaat, 24 November yang lepas.


2. Unjuran hasil bagi tahun 2024 sebanyak RM5.737 bilion didasari dua punca hasil utama iaitu hasil cukai terutamanya Cukai Jualan Negeri (CJN) dan hasil bukan cukai terutama royalti petroleum.


3. Saya ingin menyentuh punca hasil terkait dengan terimaan bukan hasil iaitu pemberian daripada Kerajaan Persekutuan serta komitmen Kerajaan Negeri untuk meneruskan tuntutan berkenaan Pemberian Khas sepertimana dinyatakan dalam Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan.


4. Dewan ini harus merekodkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim yang telah meningkatkan kadar pemberian khas interim kepada Sabah daripada RM125.6 juta kepada RM300 juta serta perakuan bahawa keputusan ini hanyalah bersifat interim sepertimana dinyatakan beliau semasa pembentangan Belanjawan MADANI 2024.


5. Dewan ini juga harus merakamkan penghargaan di atas komitmen Kerajaan Perpaduan memuktamadkan formula kekal pemberian khas ini dalam tempoh satu tahun dari tarikh mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 pada bulan Julai 2023 yang lalu.


6. Dalam ketegasan kita semua memperjuangkan penyelesaian tuntas kepada tuntutan ini, saya berharap dan mencadangkan agar Kerajaan Sabah tampil dengan cadangan formula pemberian khas yang boleh diterima sekiranya kita tidak dapat bersetuju dengan cadangan formula yang dicadangkan oleh Kementerian Kewangan Persekutuan.


7. Justeru, saya mencadangkan agar jawatankuasa perunding yang ditubuhkan sebelum ini yang diketuai oleh YB Menteri Kewangan diperkasakan dengan pasukan pakar terdiri daripada profesional dalam bidang guaman, percukaian, perakaunan, audit, kewangan, bekas hakim, timbang tara dan sebagainya bagi membantu Kerajaan Sabah mengemukakan cadangan formula yang kekal berdasarkan kepada interpretasi perlembagaan dan analisa cukai dan hasil persekutuan di Sabah.


8. Saya mencadangkan agar pemberian semula 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip secara langsung daripada Sabah terutamanya cukai pendapatan dan kutipan kastam, manakala kutipan secara tidak langsung seperti cukai syarikat-syarikat multinasional yang beroperasi di Sabah tetapi didaftarkan di luar Sabah yang menyebabkan mereka membayar cukai tanpa melalui pejabat hasil di Sabah harus dibincangkan berasingan.


9. Cadangan ini bagi membolehkan Sabah menikmati tambahan hasil kepada Belanjawan Negeri yang lebih segera sementara meneruskan rundingan mengenai kutipan hasil persekutuan tidak langsung.


10. Saya juga mencadangkan agar Kerajaan Sabah menerokai potensi mengujudkan enakmen khas di Dewan ini terkait pemungutan semula hasil persekutuan ini bagi melengkapkan apa yang sudah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut. Cadangan ini saya pernah kemukakan dalam perbahasan saya yang terdahulu.


11. Bagi menambahkan lagi hasil Kerajaan Sabah, saya juga ingin mencadangkan agar Kerajaan mensyaratkan pemilikan ekuiti negeri dalam setiap pelaburan terus syarikat multinasional negara atau luar negara yang dilaksanakan di Sabah. Ini termasuklah syarikat multinasional yang berhasrat mendapatkan lanjutan pajakan sedia-ada bagi yang terlibat dalam sektor perladangan. (Perkara ini juga dibangkitkan oleh YB Sindumin sebentar tadi)


Tuan Yang Di-Pertua,


12. Saya juga ucapkan tahniah kepada Kerajaan Sabah kerana memberi fokus besar kepada pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).


13. Di peringkat Kerajaan Persekutuan, bermula di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), saya telah mengutarakan agar kita melaksanakan dasar pandang ke Timur dalam negara atau national look east policy dengan memberi tumpuan dan fokus tambahan kepada wilayah Borneo bagi pembangunan keusahawanan dan ekonomi.


14. Jika Indonesia berwawasan membangunkan ibukota Nusantara mereka di Kalimantan, jika Sarawak kian menyerlah dalam pembangunan ekonomi berasaskan kepada teknologi hijau dan industri air, maka sudah tentunya Sabah boleh membangunkan potensi ekonominya bagi mengujudkan sinergi ekonomi Borneo seterusnya menjadikan pulau ini potensi besar pusat ekonomi Asia Pasifik.


15. Justeru, kita sama-sama perkasakan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah yang telah ditubuhkan atas cadangan saya di Dewan ini dan tidak lagi menoleh ke belakang. Kita berganding mahu, mitatabang, kata orang Kadazandusun, dengan izin, untuk terus membangunkan PMKS di Sabah.


16. Di peringkat daerah, saya ingin mencadangkan mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) diadakan setiap bulan bagi menyelaras, memantau dan menangani pelaksanaan projek-projek pembangunan dengan lebih baik. Pemesyuaratan ini harus melibatkan Wakil-Wakil Rakyat.


Tuan Yang Di-Pertua,


17. Pemberian bonus RM2,000 kepada penjawat awam negeri merupakan komiten Kerajaan Sabah menghargai peranan mereka dalam menjayakan agenda pembangunan kita.


18. Bagaimanapun, saya ingin menarik perhatian Dewan ini agar pengambilan baharu dalam perkhidmatan awam negeri dan termasuklah persekutuan di Sabah haruslah mencakupi penyertaan semua kaum dan agama. Ini termasuklah dalam dalam pengisian jawatan ketua-ketua jabatan dan kenaikan pangkat.


19. Saya terkilan apabila membaca aduan terkait pengambilan baharu perjawatan awam di sebuah jabatan negeri yang tidak menggambarkan keberbilangan kaum dan agama di Sabah.


20. Untuk ini, saya cadangkan agar pengambilan baharu, kenaikan pangkat dan pengisian ketua jabatan negeri sekurang-kurangnya haruslah berasaskan kepada peratusan demografi kaum dan agama di Sabah. Dengan ini kita boleh memupuk semangat mitatabang dan mencetuskan semangat Sabah Maju Jaya yang sebenar sepertimana terserlah semasa kita menandatangan Perjanjian Malaysia 1963 apabila pemimpin-peminpin suku kaum utama di Sabah menurunkan tandatangan mereka mewakili team Sabah.


Tuan Yang Di-Pertua,


21. Sepertimana dalam Belanjawan Sabah 2024 dan Belanjawan MADANI 2024, kita terus menggiatkan usaha pembangunan infrastruktur asas seperti jaringan jalan raya, bekalan air, utiliti elektrik dan liputan telekomunikasi.


22. Saya ingin merakamkan penghargaan atas pelaksanaan projek-projek infrastruktur utama di kawasan Kadamaian, iaitu naik taraf Jalan Tengkurus - Lahanas dan Jalan Nahaba - Sayap yang sedang dilaksanakan serta naik taraf Jalan Tambulaung - Podos dan jambatan kekal Kg Kaung yang sedang dalam proses perolehan. Apabila siap kelak, kemudahan ini akan menjadi game-changer kepada pembangunan ekonomi, keusahawanan dan pendapatan rakyat di Kadamaian.


23. Saya ingin merekodkan permintaan seterusnya iaitu agar kesemua jalan-jalan utama menuju ke kawasan sekolah di Kadamaian yang selebihnya, iaitu Jalan Gaur - Pinolobuh - Mangkulat di mana terdapatnya tiga sekolah yang terlibat iaitu SK Mangkulat, SK Pinolobuh dan SRA Gaur, kemudian Jalan Kebidahan - Takulung yang melibatkan sekolah SK Lasau, Jalan Kaung - Lobong-Lobong yang mencakupi sekolah SK Kaung, jalan-jalan di Melangkap mengarah ke SK Melangkap dan SK Gensurai, Jalan Kg Dundau menuju ke SK Piasau, Jalan Tambatuon ke SK Tambatuon dan Jalan Tiong Komburaon menuju ke SMK Narinang dapat dimasukkan dalam senarai keutamaan negeri bagi pelaksanaan projek rolling plan ke-4 RMK12 atau rolling plan terawal dalam RMK13. Saya juga berharap pelaksanaan projek naiktaraf Jalan Mandap - Doluoh - Kinasaraban dapat dipercepatkan.


24. Saya juga mencadangkan agar projek bekalan air luar bandar dengan membina water intake di Mukim Kebayau dapat diteruskan dengan mengubah nama sedia ada kepada Projek Bekalan Air Luar Bandar Kebayau bagi membekalkan air terawat kepada Kg Kebayau, Kg Bundu Paka, Kg Purak Ogis, Kg Lingkubang, Kg Melangkap Baru, Kg Melangkap Tomis, Kg Melangkap Tiong, Kg Melangkap Kapa, Kg Melangkap Noriou, Kg Narinang, Kg Sogoh, Kg Tambatuon sebelum dibekalkan kepada kampung-kampung lain termasuk yang berjiran dengan kawasan Kadamaian. Saya merekodkan cadangan ini dalam Dewan ini dan akan menyulusi secara bertulis kepada Kementerian dan agensi yang berkaitan.


25. Saya juga mahu merekodkan dalam Dewan ini permintaan saya agar penyukatan tanah melalui Program PANTAS diteruskan di kawasan Kadamaian terutama bagi kawasan-kawasan tanah milik anak negeri.


26. Selepas selesainya penyukatan PANTAS dengan sasaran 1000 lot di Mukim Kiau yang dilaksanakan sejak tahun 2019, saya meminta ianya dilaksanakan di mukim-mukim seterusnya iaitu di Kg Kaung, Kg Lobong-Lobong, Kg Tambatuon, Kg Gensurai, Kg Podos, Kg Melangkap, Kg Sayap, Kg Lasau, Kg Lahanas, antaranya.


27. Dalam sidang yang lepas semasa pembentangan Belanjawan Tambahan 2023, saya telah meminta agar projek Arena Belia dilaksanakan di Kadamaian pada tahun depan dan penggulungan balas YB Menteri Kewangan sangat positif ketika itu. Justeru saya berharap ianya dapat dijayakan dan dilaksanakan pada tahun hadapan.


28. Saya turut meminta agar fokus tambahan kepada pembangunan pelancongan di Kadamaian dapat diberikan bukan hanya dalam aspek promosi dan bimbingan, tetapi juga kemudahan infrastruktur asas yang berkaitan serta penganjuran program-program pelancongan utama di Kadamaian.


29. Saya mencadangkan agar Kerajaan menjadikan acara Kadamaian Run dan Tamu Besar Kadamaian sebagai acara besar program tahunan Kerajaan di Kadamaian dan juga membangunkan laluan baharu mendaki Gunung Kinabalu dari Kg Sayap serta menyediakan kemudahan laluan pendaki ke Gunung Nungkok dari Kg Tambatuon dan Kg Lobong-Lobong. Ini juga akan menjadikan Kadamaian tarikan pelancongan yang kompetitif.


Tuan Yang Di-Pertua,


30. Saya juga ingin menyentuh mengenai program pembangunan rakyat termiskin di Sabah. Dengan penuh keinsafan, kita harus menggembleng tenaga untuk membawa keluar rakyat kita di Sabah dari belenggu kesusahan dan kemiskinan. Kita tidak mahu Sabah terus dikenali mempunyai daerah-daerah termiskin di negara ini.


31. Saya ingin mencadangkan agar Kerajaan Sabah melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) atau Institut Kajian Pembangunan (IDS) untuk menjalankan kajian berapa banyak senarai daftar e-Kasih yang memiliki tanah samada yang sudah diberi geran pemilikan atau masih di peringkat permohonan tanah.


32. Seterusnya kita membangunkan program khas inisiatif pendapatan rakyat bagi senarai e-Kasih yang mempunyai tanah ini dengan menjadikan aset mereka tersebut produktif dan dibangunkan sebagai sumber punca pendapatan isirumah.


33. Projek pembangunan insiatif pendapatan rakyat khas tersebut boleh dicadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk pembiayaan. Kita semua tahu aset tanah tidak dikira sebagai faktor pertimbangan semasa menentukan garis kemiskinan isirumah, justeru kita boleh membangunkan program khas bagi yang memiliki aset tanah ini.


Tuan Yang Di-Pertua,


34. Saya juga ingin menyentuh mengenai wawasan untuk memartabatkan Mahkamah Anak Negeri sama tarafnya seperti Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Dalam Belanjawan ini, selain perbelanjaan mengurus pembayaran elaun Ketua-Ketua Adat, peruntukan yang disediakan untuk Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) sebanyak RM370,010 dan peruntukan pembinaan bangunan Mahkamah Anak Negeri (MAN) sebanyak RM1,750,000 pada pandangan saya sangat kecil berbanding dengan wawasan tersebut.


35. ILMAN harus tampil membangunkan modul pengajian sekurang-kurangnya Diploma Pengajian Undang-Undang Anak Negeri supaya graduannya kelak boleh diserap menjadi Hakim atau Penguamcara Undang-Undang Anak Negeri atau ke jawatan tetap di MAN. Lantikan secara politik Ketua-Ketua Adat masih boleh diteruskan dengan persetujuan Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan tetapi wawasan memartabatkan ILMAN dan MAN harus dijayakan bermula pengenalan pengajian peringkat diploma.


36. Saya juga memohon agar peruntukan membina bangunan Mahkamah Anak Negeri dapat ditingkatkan termasuk mendapatkan peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan untuk memastikan setiap daerah di Sabah harus memiliki bangunan MAN tersendiri termasuk di Kota Belud yang saya cadangkan dibina dalam kawasan Kadamaian.


Tuan Yang Di-Pertua,


35. Saya ucapkan terima kasih di atas ruang ini dan selamat maju jaya kepada YAB Ketua Menteri, YB Menteri Kewangan, rakan-rakan pimpinan dan rakan-rakan Ahli Dewan ini agar sama-sama kita mendukung menjayakan Belanjawan 2024 ini.


36. Saya ucapkan selamat menyambut Hari Krismas dan Tahun Baharu yang bakal tiba kepada semua yang ada di sini serta rakyat Sabah amnya. Saya turut menjemput semua ke Rumah Terbuka Krismas saya pada 26 Disember 2023 di Pusat Kebudayaan Sabah.


37. Dengan ini, saya mohon menyokong. Terima kasih.


YB DATUK EWON BENEDICK

ADUN N11 KADAMAIAN

27 NOVEMBER 2023 (ISNIN)



bottom of page