- nabalunews
Teks ucapan penuh Presiden UPKO, Konvensyen Nasional 2024
TEKS UCAPAN
YB DATUK EWON BENEDICK
PRESIDEN UPKO
SEMPENA KONVENSYEN NASIONAL UPKO 2024
11 OGOS 2024
1. Malam tadi kita telah meraikan ulangtahun penubuhan UPKO yang ke-30. Sepanjang tempoh ini, Parti kita telah melalui perjalanan pendewasaan politik, pelbagai cabaran dan dinamik politik negara dan juga di Sabah.
2. Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada pimpinan pengasas Parti kita yang diketuai oleh Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Presiden Parti dari tahun 1994 hingga 2015 dan pimpinan kesinambungan yang diketuai oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Presiden Parti dari tahun 2015 hingga 2023. Terima kasih kepada ahli-ahli Parti yang terus mendukung tujuan dan matlamat penubuhan Parti kita.
3. Semalam juga, kita memperkenalkan Anugerah Presiden dengan penerima pertamanya ialah Naib Presiden Parti, Datuk Wong Thien Fook. Beliau merupakan satu-satunya antara pimpinan Majlis Tertinggi pengasas Parti pada tahun 1994 yang kini terus berkepimpinan di dalam UPKO sehingga hari ini di Majlis Tertinggi kita. Semoga dedikasi dan komitmen besar beliau menjadi motivasi dan inspirasi kepada semua ahli Parti.
4. Dalam konvensyen Parti tahun ini, saya mahu mengambil sudut yang berbeza berbanding kelaziman selama ini. Saya ingin membawa saudara dan saudari kepada tujuan dan matlamat Parti ini ditubuhkan dan bagaimana kita harus menggerak halatuju seterusnya.
5. Kita mempunyai 17 tujuan dan matlamat penubuhan Parti di dalam Perlembagaan kita. Selepas 30 tahun ditubuhkan, saya percaya wajar untuk semua kita menginsafi sejauh mana kita telah mencapai tujuan-tujuan dan matlamat-matlamat tersebut.
MEMPERTAHANKAN ASAS DAN SEMANGAT PENUBUHAN MALAYSIA SELARAS PERJANJIAN MALAYSIA 1963
Saudara dan saudari,
6. Matlamat Parti menuntut kita untuk mempertahankan asas dan semangat penubuhan Malaysia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai badan perundangan tertinggi.
7. Saya menghargai pengiktirafan peranan yang telah diberikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim kepada saya dalam Kabinet Persekutuan, seterusnya dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MTPMA63) dan Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 yang memberi platform kepada saya untuk menyampaikan pendirian dan pandangan Parti terkait dengan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.
8. Sehingga 28 Mei 2024 yang lepas, daripada 29 perkara atau tuntutan asas berkaitan MA63, sepuluh (10) perkara telah selesai, satu (1) mempunyaipenyelesaian interim, empat (4) belum selesai tetapi telah mempunyai keputusan dasar, sembilan (9) belum selesai tetapi sedang dalam perbincangan dan lima (5) distatuskan agree-to-disagree.
9. Bagi Sabah, perkara-perkara yang telah diselesaikan adalah:-
• Penyerahan kuasa ke atas pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Sabah;
• Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan;
• Pemberian kuasa mengenai perlesenan dan penangkapan ikan laut kepada Kerajaan Sabah;
• Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah sebagai jabatan teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182);
• Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 (Akta 533) bagi melantik Wakil Kerajaan Sabah sebagai Anggota Tetap LHDN;
• Penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Sabah;
• Pentadbiran badan kehakiman di Sabah;
• Penyediaan garis panduan khas bagi urusan penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah;
• Penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Kerajaan Sabah;
10. Manakala perkara berkaitan kajian semula pemberian khas bagi Sabah telah mempunyai penyelesaian interim.
11. Kita sebenarnya telah menetapkan garis masa setahun bermula pada 18 Julai 2023 sehingga 18 Julai 2024 bagi memuktamadkan mekanisme pembayaran semula hak 40 peratus ke atas hasil Persekutuan di Sabah. Sebab itulah atas semangat dan sikap bertanggungjawab, Parti kita telah mengadakan perbincangan meja bulat berkaitan ini pada 19 Disember 2023 yang dihadiri oleh pakar-pakar perundangan, percukaian, perakaunan, pentadbiran dan mantan pimpinan bagi mengemuka resolusi dan syor mekanisme pembayaran.
12. Saya telah mengetuai delegasi Parti mengadakan kunjungan kepada YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglim Hajiji Noor pada 9 Januari 2024 bagi menyampaikan secara rasmi cadangan Parti.
13. Bagaimanapun, apabila Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 bersidang pada 28 Mei 2024 yang lepas, kita tidak dapat membincangkan perkara berkaitan 40 peratus dan pembayaran khas bagi Sabah kerana Kerajaan Negeri memerlukan masa bagi mengemukakan cadangan ataupun tuntutan yang kemudiannya telah dikemukakan pada 18 Jun 2024.
14. Walaupun garis masa ini sudah berlalu dan belum ada pemuktamadan, tetapi Parti kita tidak harus putus asa. Kita akan terus berjuang melalui saluran-saluran yang kita ada samada melalui perbincangan dalam mesyuarat kabinet, ataupun melalui dewan perundangan ataupun saluran perundangan.
15. Usahlah mencari siapa dan di mana silapnya, sebaliknya kita terus bertekad untuk “membubut” solusinya. Usahlah kita bertengkar, sebaliknya perlu mengukuhkan kesatuan mendapatkan hak kita kerana hak perlembagaan ini bukan milik mana-mana parti, tetapi hak rakyat Sabah.
16. Kita juga akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Sabah dan terus menyokong pertubuhan-pertubuhan lain yang mahu mengangkat pemuktamadan perkara ini. Pendekatan dan kaedah pengangkatan oleh pelbagai pihak ini mungkin berbeza, tetapi matlamatnya tetap sama, justeru Parti kita harus mengambil pendekatan saling melengkapi.
MEMPERTAHANKAN KEDAULATANNEGARA YANG MERDEKA DAN MELINDUNGI HAK-HAK SERTA KESELAMATAN WARGANEGARA MALAYSIA
Saudara dan saudari,
17. Matlamat Parti menuntut kita mempertahankan kedaulatan negara yang Merdeka dan melindungi hak-hak serta keselamatan warganegara Malaysia.
18. Dalam kita berbicara dan terus berjuang mengenai pelaksanaan perkara-perkara yang belum selesai dalam MA63, kita mesti mempertahankan kedaulatan negara kita. Dalam konvensyen ini, mari kita tetapkan resolusi menolak sebarang propaganda luar yang mahu menuntut Sabah ini milik mereka. Sabah adalahwilayah yang berdaulat!
19. Mari kita hargai komitmen dan ketegasan Perdana Menteri dan rakan-rakan pimpinan Kerajaan MADANI yang memberi respon tegas apabila ada pihak yang cuba menggugat kedaulatan negara kita di Sabah. Parti kita harus berbangga berada dalam pimpinan negara yang telah melawan sehingga berjaya tuntutan waris Sulu di luar negara.
20. Parti kita harus memberi penghargaan kepada Pasukan Pertugas Khas Menangani Tuntutan Sulu yang diketuai oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato Azalina Othman Said kerana terus mematahkan cubaan pihak luar yang menggugat kedaulatan negara.
21. Kerajaan MADANI juga telah memperkenalkan Rang Undang-Undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 yang membolehkan mahkamah di Malaysia memanggil dan mendakwa mana-mana pihak yang mencabar kedaulatan negara kita di luar negara. Jika mana-mana negara menarik kekebalan negara kita, kita juga boleh menarik kekebalan mereka di Malaysia.
22. Dalam masa yang sama, ahli-ahli Parti mesti terus memastikan kawasan rumah, milikan tanah dan perusahaan ekonomi bebas pendatang asing tanpa izin (PATI). Jangan menyewakan rumah dan premis kepada PATI. Cegah sebelum melarat, lapor untuk membenteras. Ini merupakan usaha asas di mana kita boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian supaya kedaulatan dan kemerdekaan kita terus dipertahankan.
MENDUKUNG ASPIRASI RUKUNEGARA
Saudara dan saudari,
23. Parti kita mendukung aspirasi Rukunegara. Justeru, buat pertama kali dalam sejarah Konvensyen Parti, kita telah melafazkan ikrar Rukunegara sebagai ingatan kepada semua ahli Partiakan tanggungjawab kita untuk membina negara ini berdasarkan kepada lima prinsip asas Rukunegara.
24. Kerajaan MADANI telah memutuskan supaya bacaan ikrar Rukunegara dibuat dalam acara-acara rasmi supaya kita kembali menjulang semangat patriotik, menjunjung prinsip Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan dengan menerap kepentingan perundangan dan ketatasusilaan rakyat berbilang kaum, bahasa dan agama.
MEMPROMOSI PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL DALAM USAHA MELAHIRKAN MASYARAKAT YANG ADIL, MAKMUR, LIBERAL DAN PROGRESIF SERTA MEMPERTAHANKAN KEBEBASAN BERAGAMA DAN KEHARMONIAN KAUM
25. Matlamat Parti juga menuntut kita mempromosi perpaduan dan integrasi nasional dalam usaha melahirkan Masyarakat yang adil, makmur, liberal dan progresif serta mempertahankan kebebasan beragama dan keharmonian kaum.
26. Atas matlamat ini, Parti kita mengisi calendar tahunan dengansambutan Krismas, Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Sambutan Hari Orang Asal selain mendukung sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah. Ini merupakan sumbangan UPKO kepada tanggungjawab mempromosi perpaduan dan integrasi nasional.
27. Parti kita mendukung Kerajaan MADANI yang menerapkan nilai-nilai manusiawi dalam mengurus-tadbir kemajuan negara. Parti kita menolak politik ekstrem yang menggunakan propaganda kaum dan agama.
28. Ya, Perlembagaan telah memberikan kita hak bersuara dan menyatakan pandangan. Tetapi apalah ertinya hak itu jika setiap kali diguna, ia mencetus ketegangan hubungan antara kaum dan agama. Sebab itu Parti kita harus mendukung pemakaian undang-undang tegas ke atas perosak perpaduan kaum dan agama di negara ini.
29. Ahli-ahli Parti mesti terkehadapan menjadi duta perpaduan negara. Mari menjadikan Parti kita contoh bermula dengan dukungan ke atas prinsip-prinsip Rukunegara.
30.Dalam konteks ini juga, kita akan terus mempertahankan hak serta memperkasakan kemajuan Masyarakat Orang Asal di Malaysia, bukannya dalam sudut perlembagaan dan perundangan, tetapi juga dalam penyertaan tadbir urus awam dan ekonomi negara. Kita mendukung agenda ekonomi Bumiputera, dan Parti kita akan terus mengambil inisiatif-inisiatif yang perlu untuk meningkatkan penyertaan masyarakat Orang Asal.
31. Ini termasuklah mendukung inisiatif pertubuhan-pertubuhan masyarakat Orang Asal di Sabah yang telah memeterai Deklarasi Momogun supaya kesatuan rumpun dapat dibina supaya tidak lagi dipanggil Lain-Lain dalam borang-borang pentadbiran. Parti kita juga menggalakkan lebih banyak dialog, seminar, kajian dan penulisan yang boleh memantapkan kesatuan rumpun ini dengan mengekalkan identiti suku etnik sedia ada.
MEMPERJUANGKAN PENJANAAN EKONOMI YANG MAMPAN SERTA PENGAGIHAN KEKAYAAN YANG SAKSAMA KEPADA SEMUA WILAYAH DAN LAPISAN MASYARAKAT
Saudara dan saudari,
32. Matlamat Parti menuntut kita untuk memperjuangkan penjanaan ekonomi yang mampan serta pengagihan kekayaan yang sama kepada semua wilayah dan lapisan masyarakat.
33. Sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya telah mengumumkan laporan prestasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan prestasi gerakan koperasi bagi tahun 2023 yang menjulang prestasi lebih cemerlang berbanding tahun 2022.
34. Pada tahun 2023, PMKS menyumbang kepada 39.1% Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan nilai RM613.1 bilion berbanding 38.6% atau RM584.1 bilion pada tahun 2022, iaitu pertumbuhan sebanyak 5.0%.
35. Nilai eksport PMKS juga meningkat kepada RM152.2 bilion berbanding RM145.6 bilion pada tahun 2022, iaitu pertumbuhan sebanyak 4.5% menjadikan sumbangan PMKS kepada ekport negara pada kadar 12.2%.
36. PMKS juga menggaji 7.86 juta pekerja dengan 48.5% sumbangan kepada sektor tenaga negara, iaitu pertumbuhan sebanyak 3.5% berbanding tahun 2022 pada kadar 48.2% atay 7.59 juta pekerja.
37. Gerakan koperasi negara boleh mencapai perolehan sebanyak RM64.56 bilion pada tahun 2023 berbanding RM45.5 bilion pada tahun 2022.
38. Bagi Sabah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta tujuh agensi pembiayaan di bawahnya iaitu Bank Rakyat, SME Bank, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Corp dan PERNAS telah menyalurkan jumlah pembiayaan keseluruhan sebanyak RM953,904,453.60(RM953.9 juta) kepada 53,044 PMKS dan koperasi di Sabah.
39. Sesuai dengan matlamat Parti memperjuangkan penjanaan ekonomi, saya mahu Parti dan Bahagian-Bahagian kita menjayakan inisiatif “1 Bahagian, 1 Koperasi, 1 Persatuan, 1 Success Story” untuk memotivasi penyertaan rakyat kita dalam aktiviti ekonomi, keusahawanan dan koperasi serta mencetus kisah-kisah kejayaan bermula di kampung-kampung dan pekan-pekan.
40. Kita mahu bukan hanya ahli-ahli Parti, tetapi juga kepada rakyat jelata untuk terus menjadi sebahagian daripada pencapaian cemerlang PMKS dan koperasi negara kita. Parti kita mesti mengupayakan rakyat dengan buah bikiran, menjadi pembimbing dan pemudahcara urusan rakyat supaya mereka bukan hanya merai pendapatan melalui gerakan keusahawan dan koperasi, tetapi menyumbang kepada ekonomi dan kemajuan negara.
41. Sebab itulah kita telah memposisi pimpinan Parti ke lantikan di agensi-agensi Kerajaan bagi menjayakan dasar Parti ini. Kita mahu “dasar pandang ke Timur dalam negara” dimulakan di KUSKOP. Sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya akan terus mendapatkan komitmen Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI agar kementerian ini dapat menggembleng usaha memberi tumpuan tambahan kepada penyertaanmasyarakat Orang Asal dan wilayah Borneo dalam pembangunan keusahawanan dan koperasi negara.
42. Parti kita mesti memperjuangkan pelaksanaan United Nations Sustainable Development Goal (UNSDG) dengan membangunkan sumber-sumber Orang Asal untuk menjana pendapatan dan membasmi kemiskinan serta menerapkan pembudayaan Environment, Social and Governance (ESG) dalam aktiviti ekonomi rakyat kita serta berupaya menggerak penyertaan dalam sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi (High Growth High Value).
MEMPERJUANGKAN KESAKSAMAAN PELUANG PENDIDIKAN DALAM KALANGAN SEMUA LAPISAN MASYARAKAT SEJAJAR DENGAN PERKEMBANGAN ILMU YANG DINAMIK
Saudara dan saudari,
43. Matlamat Parti menuntut kita memperjuangkan kesaksamaan peluang pendidikan dalam kalangan semua lapisan masyarakat sejajar dengan perkembangan ilmu yang dinamik.
44. Atas matlamat ini, mari mengangkat resolusi konvensyen hari ini agar tidak harus ada satupun anak ahli-ahli UPKO dan rakyat jelata yang tercicir dalam memperolehi pendidikan sekurang-kurangnya sehingga sekolah menengah. Kita perlu bela keluarga miskin tegar dan rakyat kebanyakan agar anak-anak mereka dibantu mendapatkan pendidikan perdana ataupun TVET.
45. Saya hargai usaha Biro Pendidikan UPKO yang bekerjasama dengan yayasan berkaitan agensi kerajaan yang telah menjejalah ke bahagian-bahagian kita bermula tahun lepas untuk membantu menyelaras penyampaian bantuan awal persekolahan dan bantuan awal pengajian.
46. Kita telah menambahbaik pengajian Bahasa Kadazandusun di sekolah-sekolah hari ini dengan melebarkan inisiatif memperkenalkan buku-buku teks dan buku-buku kerja mengikut bahasa etnik daerah bermula dengan Kadazan, Timogun, Tatana dan Lotud. Kita akan terus berinisiatif agar lebih banyak buku-buku teks dan kerja sekolah dapat disediakan dalam bahasa-bahasa etnik lain.
47. Kita juga telah dapat menyediakan pembiayaan pengajian khusus untuk pelajar bahasa etnik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atas kerjasama erat Yayasan Bank Rakyat.
48. Saya juga telah bersetuju promosi pengambilan khas pelajar-pelajar dari Sabah dan Sarawak bagi pengajian di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).
49. Kita juga akan melaksanakan Program Ehsan@KUSKOP bagi membantu anak-anak dari keluarga miskin tegar untuk mendapatkan akses kepada pendidikan.
50. Kita telah menubuhkan Biro Hal Ehwal Anak Negeri antara lainnya untuk mencadangkan modul pengajian tinggi pentadbiran Mahkamah Anak Negeri serta pengisian yang lebih berkualiti di Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri.
51. Inilah adalah sumbangan dan komitmen kita kepada matlamat penubuhan Parti kita sepertimana telah saya nyatakan pada konvensyen tahun lepas agar fokus besar diberikan kepada pembangunan pendidikan dan keusahawanan rakyat.
MENINGKATKAN PENGLIBATAN DAN KESEDARAN GENERASI MUDA DAN KAUM WANITA DALAM ARENA POLITIK SERTA PROSES PEMBUATAN KEPUTUSAN DAN KEPEMIMPINANSERTA MEMPROMOSI KEPIMPINAN YANG BERFIKIRAN DAN BERTINDAK SECARA LOKAL
Saudara dan saudari,
52. Matlamat Parti juga menuntut kita untuk meningkatkan penglibatan dan kesedaran generasi muda dan kaum wanita dalam arena politik serta proses pembuatan Keputusan dan kepemimpinan serta mempromosi kepimpinan yang berfikiran dan bertindak secara lokal.
53. Persaingan teknologi dan inovasi serta kepintaran buatan kini mendominasi pola tadbir urus dunia. Persaingan ekonomi dan politik menjadi semakin kompleks dan mencabar.
54. Parti kita mesti berupaya merencana disiplin dan kualiti kepimpinan beraras tinggi tanpa menjejas identiti asal kita. Parti kita mesti menginspirasi rakyat untuk membudayakan amalan progresif agar boleh bersaing di semua persada. Kita mesti membina substance ahli-ahli dan rakyat kita.
55. Kita bangga rakyat kita naik ke podium antarabangsa, menerima scroll sarjana, memenangi pingat, berpidato sambil menyalam dalam bahasa ibunda dengan penampilan etnik. Sebab itu seringkas kita tampil dengan baju korporat beridentitikan batik Borneo dan semangat Kinabalu dalam sambutan ulangtahun ke-30 semalam adalah mesej betapa pengantarabangsaan sikap dan mentaliti itu sangat mustahak seimbang dengan pemeliharaan identiti asal.
56. Yang dewasa dihormati, yang remaja disantuni. Yang pemuda mencintai, yang wanita dicintai. Inilah resam kita untuk merangkul semua kekuatan ahli-ahli membina Parti ini.
57. UPKO sememangnya terbuka kepada semua masyarakat yang menerima tujuan dan matlamat Parti. Kita akan terus memberdaya penglibatan generasi muda dan wanita dalam kepemimpinan Parti dengan menjunjung pembudayaan meritokrasi.
58. Jika Presiden yang diberi mandat dan tanggungjawab itu datangnya daripada kalangan generasi muda, maka pintu untuk keseluruhan generasi muda terbentang luas menyertai dan bersama-sama mengayuh nahkoda Parti ini.
59. Sebab itu sekali lagi saya ingin mengulangi jemputan untuk tampil bersama-sama dalam perjuangan ini. Kepimpinan saya tidak sempurna, tetapi kita akan sama-sama menjadi lebih baik dan kuat apabila sudah bersama-sama. We are stronger together!
BERPEGANG TEGUH KEPADA KEPIMPINAN BERPRINSIP DAN KOMITED UNTUK MEMBERIKAN PELAYANAN DAN PERKHIDMATAN YANG FOKUS, BERANI DAN IKHLAS
Saudara dan saudari,
60. Matlamat Parti menuntut kita untuk berpegang teguh kepada kepimpinan berprinsip dan komited untuk memberikan pelayanan dan perkhidmatan yang fokus, berani dan Ikhlas.
61. Menjunjung yang benar, menyanggah yang salah, meneruskan apa yang wajar. Kita semua telah diterapkan dengan pendidikan kepimpinan mulia sejak Parti ini ditubuhkan. Principled-oriented leadership, servanthood leadership yang dimurnikan dengan common-sense leadership.
62. Atas matlamat ini, kita akan terus mengambil pendirian-pendirian tegas bertempat yang konsisten dalam perkara-perkara berkaitan MA63, Perlembagaan Persekutuan, tadbir urus negara dan isu-isu yang menjadi keprihatinan utama rakyat.
63. Penubuhan negara Malaysia ini mempunyai syarat sepertimana dimeterai dalam MA63. Sebab itu Parti kita akan terus bertegas mempertahankan syarat-syarat yang telah dipersetujui antaranya mengenai kebebasan beragama, tanah-tanah di Sabah dikuasai oleh Kerajaan Sabah dan penghormatan kepada adat istiadat rakyat Sabah.
64. Dalam perkongsian hasil persekutuan di Sabah, hak 40 peratus merupakan syarat yang telah ditetapkan semasa penubuhan Malaysia. Hak 40 peratus ini adalah berlainan dengan peruntukan emolumen dan pembangunan yang telah ditetapkan dalam belanjawan tahunan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah. Ini akan menjadi pendirian tegas dan pendirian rasmi Parti kita pada sepanjang masa.
65. Parti kita menuntut pemulangan semula semangat representasi Dewan Rakyat melalui peruntukan tidak kurang daripada satu pertiga kerusi Dewan Rakyat harus datang daripada Sabah dan Sarawak. Ini juga akan menjadi pendirian tegas dan pendirian rasmi Parti kita sepanjang masa.
66. Sementara itu, kita mahu Dewan Undangan Negeri Sabah meneliti semula semua pindaan Perlembagaan Persekutuan atau pengujudan Rang Undang-Undang Persekutuan yang telah dibuat dan memberi kesan kepada Sabah tanpa mendapat persetujuan daripada Dewan Undangan Negeri. Ini juga akan menjadi pendirian tegas dan pendirian rasmi Parti kita sepanjang masa.
67. Isu-isu rakyat seperti kos sara hidup, kemiskinan tegar, infrastruktur dan utiliti asas, pendapatan dan kebajikanrakyat mesti terus diperjuangkan dalam semua platform yang dibolehkan kepada Parti kita. Pimpinan Parti di semua peringkat, khasnya di Bahagian-Bahagian boleh mengakses kepada pejabat-pejabat kerajaan untuk mendapatkan maklumat dan menyampaikan syor-syor terkait isu rakyat ini.
68. Sementara kita boleh menggunakan media sosial untuk melontar segala teguran dan pandangan kita, saya ingin melihat barisan kepimpinan dan ahli-ahli Parti yang mesti berupaya melengkapi usaha-usaha institusi kerajaan dan institusi bukan kerajaan. Mari menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah dan keperluan rakyat ini.
PILIHANRAYA SABAH
Saudara dan saudari,
69. Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sekarang ini akan berakhir pada tahun depan. Kita mempunyai tempoh dalam satu tahun terakhir ini untuk terus bekerja keras, terus menyantuni rakyat dan terus berjuang mengikut matlamat dan tujuan penubuhan Parti.
70. Dinamik politik negara dan negeri hari ini menuntut pertimbangan bijaksana Parti. Sebagai Presiden, saya harus bertanggungjawab ke atas pertimbangan-pertimbangan ini. Kita akan mengakali dan menurani segala pertimbangan sebelum kita membuat keputusan kelak apabila tiba waktunya. Tapi asasnya, Parti mesti menang kerusi-kerusi pilihanraya selain kerusi sedia ada di DUN Kadamaian.
71. Konvensyen hari ini juga kita terus membakar obor perjuangan, mengibar bendera Parti sebagai permulaan lancarnya jentera dan gerak kerja pilihanraya kita.
UPKO MESTI BERUPAYA MENCETUSKAN KISAH KEJAYAAN “SUCCESS STORY” YANG BOLEH MENJADI INSPIRASI DAN MOTIVASI
Saudara dan saudari,
72. Selepas 30 tahun bertapak di arena politik negara, Parti kita ternyata telah dapat menjayakan tujuan dan matlamat penubuhannya. Kepimpinan saya hari ini akan terus memperkasa dan memperdaya institusi-institusi strategik serta melengkapkan sumbangan-sumbangan kepimpinan Parti sebelum ini. Mari semua kita menginsafi perjuangan ini masih jauh dan harus diteruskan.
73. Mari terus membina Parti ini, bermula di rumah kita, di cawangan-cawangan kita, dan di bahagian-bahagian kita di seluruh negara. Kita bangunkan rakyat menjadi usahawan, kita pastikan anak-anak kita terbela pendidikannya, kita satukan rakyat membulatkan tekad.
74. Untuk tempoh-tempoh selanjutnya, Parti kita mesti berupaya mencetuskan kisah-kisah kejayaan atau success stories yang boleh menjadi inspirasi dan motivasi kepada ahli-ahli Parti, kepada rakyat jelata dan paling penting kepada generasi masa hadapan negara ini. Parti kita, walau mungkin dianggap kerdil oleh rakan-rakan lain, tetapi mesti menginspirasi negara ini. We must be able to inspire the nation!
75. Saya sentiasa percaya inspirasi dan motivasi boleh bermula daripada rumah kita, bermula dengan merenunganak-anak kita dan menginsafi masa depan mereka bergantung kepada pendirian dan keputusan kita hari ini. Let them be the reason for a strong leadership!
76. And leadership starts from home – kepimpinan bermula daripada rumah,dengan menjadikan UPKO sebagai rumah kita dan ahli-ahli parti sebagai keluarga kita serta negara ini sebagai keluarga besar kita.
77. Kepimpinan yang berorientasikan akal budi – common sense leadership. Kita mesti menjadi pemudahcara, mesti menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah, dan mesti menjadi teladan. Kita mesti menjadi pemain pasukan dan berupaya untuk saling melengkapi. Kita mesti berupaya menawarkan solusi dan cadangan kepada setiap teguran dan kritikan kita, kerana tanpa keupayaan mencadang itu akan hanya menjadikan kritikan itu sebagai retorik.
78. Kita berbangga dengan pencapaian dan sumbangan kita, tetapi kita tidak harus mendabik dada kuat bersendiri. Kita mesti berdiri di bumi yang nyata, menginsafi kebersamaan, kesepaduan, kekitaan itu indah dalam membina negara majmuk ini.
79. Mari saling menginsafi dan memotivasi. Kita mulakan dengan mencetuskan pencapaian-pencapaian cemerlang walau dengan langkah yang kecil di pelusuk Bahagian kita di seluruh negara. Bila jatuh, kita mesti bangkit dan teruskan kemaraan. Bila berjaya, kita angkat mereka yang mahu berjaya. Kita pimpin rakyat kita, meski dengan cabaran menduga yang bermacam.
80. Mudah-mudahan dengan mencetus inspirasi ini, rakyat kita mendapat motivasi untuk berjaya! Mudah-mudahan negara kita boleh terus makmur dan sentosa! Mari menjadikan Persekutuan ini lebih baik. Itu sebabnya obor UPKO berkibaran, untuk menyumbang kepada masa depan rakyat dan negara ini.
Saudara dan saudari,
81. Saya ingin mengajak semua kita untuk terus memberikan nilai dan makna kepada tujuan dan matlamat Parti UPKO ditubuhkan.
Kita pasti boleh!
Kita kuat apabila bersama,
Dan lebih kuat bila sudah bersama-sama.
Bersama kita boleh!
Bersama kita boleh!
Bersama kita boleh!
Kita boleh!
Kita boleh!
Kita boleh!
UPKO!
UPKO!
UPKO!
UPKO!
UPKO!
Terima kasih. Semoga semua diberkati.
Comments