Teks ucapan penuh Presiden UPKO yang baharu
top of page
  • nabalunews

Teks ucapan penuh Presiden UPKO yang baharu




Teks Ucapan Penggulungan, Presiden UPKO merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi / Ahli Parlimen / Adun Kadamaian Datuk Ewon Benedick, pada 15 Januari 2023 (Ahad) Sempena Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO


Salam perpaduan, salam maju jaya dan salam progresif.


1. Terlebih dahulu mari kita sama-sama menzahirkan rasa syukur kepada Tuhan Yang Masa Esa kerana memberkati kita dengan kesihatan, kesejahteraan serta kelancaran Persidangan Perwakilan Tritahunan parti kita sepanjang dua hari ini.


2. Seterusnya saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada Jawatankuasa Kongres di bawah pimpinan Setiausaha Agung, saudara Nelson Wences Angang yang telah dapat memastikan tata kelola dan kejayaan pelaksanaan persidangan ini.


3. Saya juga menzahirkan kemaafan kerana menyampaikan ucapan penggulungan ini secara langsung maya kerana menghadiri Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan Persekutuan di Putrajaya yang diadakan hari ini. Pemukiman ini wajib dihadiri oleh semua Ahli Jemaah Menteri.


4. Sungguhpun demikian saya memerhati perjalanan persidangan dan maklum dengan usul-usul yang dibentangkan serta perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh para perwakilan. Semangat dan jiwa perjuangan saya sentiasa bersama-sama dengan semua rakan pimpinan dan ahli-ahli parti yang bersidang di Pusat Kebudayaan Sabah.


5. Pemukiman Jemaah Menteri antara lainnya membincangkan Penyelarasan Manifesto Kerajaan Perpaduan dan Pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Anggota Jemaah Menteri, iaitu dua perkara yang sangat berkait dengan perjuangan dan perkhidmatan parti kita, termasuk perkara-perkara yang telah dibangkitkan di sepanjang persidangan UPKO ini.


6. Untuk ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Presiden Kehormat kita, YB Datuk Seri Madius di atas konsistensi kepimpinan dan perjuangan beliau yang memastikan enam perkara utama berkaitan hak dan kepentingan Sabah dimasukkan di dalam manifesto atau Tawaran Pakatan Harapan bagi pilihanraya umum baru-baru ini.


7. Kini saya menggalas tanggungjawab untuk mengangkat manifesto ini ke meja pembuatan keputusan tertinggi negara kita iaitu mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan. Saya ingin mengulangi komitmen saya bahawa saya sedang memperjuangkan penyelesaian kepada perkara-perkara yang dinyatakan di dalam manifesto tersebut, termasuk yang berkaitan dengan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh para perwakilan sepanjang hari ini.


8. YB Datuk Seri Madius juga akan terus mengangkat isu-isu ini dan syor-syor pelaksanaan di Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen Tuaran. Untuk ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri di atas kejayaan mempertahankan kemenangan sebagai Ahli Parlimen Tuaran.


9. Sebagai ADUN Kadamaian, saya akan terus memastikan suara kita berkumandang dengan penuh berkualiti di sidang-sidang Dewan Undangan Negeri Sabah. Rekod saya sepanjang menjadi ADUN juga merupakan pengetahuan umum ahli-ahli parti dan rakyat jelata.



10. Saya juga akan menggunakan pendekatan kepimpinan berdiplomasi yang berasaskan kepada ketegasan prinsip dan kematangan persahabatan politik dalam mendepani perkara-perkara yang menjadi keprihatinan utama parti kita, rakyat kita dan negara kita. Ini termasuklah syor-syor terkait kepimpinan Pakatan Harapan Sabah, formula memperkasakan kepimpinan akar umbi dan penyertaan kepimpinan parti dalam tadbir urus Kerajaan Perpaduan di Persekutuan dan di Sabah.


Saudara dan saudari yang saya hormati,


11. Pendemokrasian parti kita telah berjalan di semua peringkat kepimpinan parti pada tahun ini di Cawangan, Bahagian dan seterusnya Majlis Tertinggi. Proses demokrasi ini telah membawa kepada peralihan teraju kepimpinan parti.


12. Justeru, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua Cawangan dan Bahagian yang telah memastikan proses demokrasi parti sentiasa subur. Apabila kita menerima prinsip demokrasi sebagai asas penubuhan perjuangan dan perkhidmatan parti, maka sewajarnya kita harus menerima dengan jiwa progresif bahawa peralihan teraju kepimpinan adalah outcome demokrasi dan asas kepada kesinambungan serta relevancy parti.


13. Sekali lagi saya ingin mengajak kesemua ahli parti UPKO untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Datuk Seri Madius di atas segala sumbangan dan jasa beliau sepanjang menjadi Presiden UPKO sejak tahun 2015. Beliau memimpin parti ini semasa kita berada di dalam dan di luar Kerajaan dengan pencapaian-pencapaian yang sudahpun menjadi pengetahuan umum kita.


14. Seterusnya saya mengucapkan setinggi tahniah di atas perlantikan sebagai Presiden Kehormat parti yang akan terus memberi platform kepada beliau untuk memberi sumbangan bermakna kepada parti kita. Saya akan terus berada bersama-sama dengan beliau menerajui parti ini bersama-sama dengan Timbalan Presiden dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi parti.


15. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Presiden Pengasas parti kita, Tan Sri Bernard yang kini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat UPKO bersama pemimpin-pemimpin pengasas parti yang lain.


Saudara dan saudari yang saya hormati,


16. Parti kita sudah dikenali dengan pendekatan principled oriented leadership yang didukung oleh Tan Sri Bernard dan diperkasakan dengan pendekatan servanthood leadership oleh Datuk Seri Madius.


17. Kini, saya akan meneruskan pendekatan-pendekatan kepimpinan selama ini tersebut dengan memperkasakannya melalui pendekatan common-sense leadership yang perlu didukung bermula daripada rumah kita, UPKO, kerana saya percaya, leadership begin at home - kepimpinan bermula di rumah.


18. Common sense leadership mengajak kita untuk mendengar, melihat, merasa, menghidu, menganalisa, memikir dan menjiwai semua isu, cabaran, peluang dan risiko ke atas satu-satu isu yang berada di hadapan kita. Setiap keputusan yang dibuat mestilah boleh dipertahankan berasaskan kepada amalan menjunjung yang benar, menyangkal yang salah dan meneruskan apa yang wajar.


19. Dalam semangat membara kita meneruskan perjuangan dan perkhidmatan parti kita sesuai dengan matlamat penubuhan parti, we must do the right things the right way - kita mesti melaksanakan perkara yang betul dengan cara yang betul.


20. Saya mahu meraikan demokrasi di dalam parti. Kepimpinan saya tidak akan sempurna dan saya bersedia menerima teguran dan kritikan sepanjang memimpin parti kita ini. Dan saya sangat menghargainya apabila setiap teguran dan kritikan tersebut disertai dengan cadangan dan motivasi kerana itulah apa cara yang betul untuk memperbetulkan kelemahan.


21. Saya juga ingin menyatakan komitmen bahawa ahli-ahli parti bakal melihat Presiden UPKO yang akan bekerja keras dan berdiplomasi sepanjang masa. Saya akan bersahabat dengan banyak parti tanpa menjejaskan prinsip dan tujuan saya berada di dalam parti ini. Saudara-saudari telah melihat kesetiaan dan kecekalan saya di dalam parti ini di saat ramai yang telah berhijrah. Saya mahu mewariskan kesetiaan dan kecekalan berserta dengan kualiti perkhidmatan, kerja keras yang dirasai ahli-ahli parti dan prinsip perjuangan sebagai legasi kepada ahli-ahli parti dan rakyat jelata.


22. Untuk ini, saya menjemput semua yang pernah menjadi ahli UPKO untuk kembali menjadi ahli UPKO dan kepada semua yang mahu menjadi sebahagian daripada legasi kepimpinan saya tersebut ini untuk menyertai parti UPKO.


23. Saya adalah kamu dan kamu adalah saya. UPKO adalah rumah saya, dan rumah ini harus menjadi rumah kita. Mari terus membina rumah ini bersama-sama sebagai satu keluarga yang demokratik, progresif, berprinsip, berdiplomasi dan berkepimpinan yang berkualiti.


24. Leadership begin at home and we do the right things the right way here at home for a common-sense leadership.


Saudara dan saudari yang saya hormati,


25. Saya akan memulakan jelajah saya kepada Bahagian-Bahagian UPKO bermula pada bulan ini juga selepas mesyuarat pertama Majlis Tertinggi pada 20 Januari 2023 (Jumaat) ini di Ibu Pejabat kita. Untuk tujuan ini, saya sukacitanya mengusulkan perlantikan semula Setiausaha Agung kita, saudara Nelson Angang agar keteraturan pentadbiran parti kita terus berjalan.


26. Saya juga berharap pimpinan parti di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan menjadi advocator kepada rakyat kita untuk menceburi sektor keusahawanan samada industri kecil dan sederhana, koperasi, perusahaan sosial, penjaja mahupun peniaga kecil.


27. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia merupakan satu kememterian yang strategik untuk membantu mengangkat tahap ekonomi rakyat melalui pembangunan sektor keusahawanan akar umbi. Sebagai Menteri, saya komited memimpin kementerian ini yang khidmat dan sumbangannya dirasai oleh rakyat. Pendekatan kepimpinan sebagai Presiden UPKO akan saya gunakan untuk memimpin kementerian ini.


28. Akhir sekali, saya mengajak semua ahli UPKO untuk terus menyokong kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Malaysia dan juga menyokong kepimpinan Yamg Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Kerajaan Perpaduan Sabah.


29. Semoga penggal kepimpinan ini terus progresif terutama untuk kita mempersiapkan parti kita menghadapi pilihanraya akan datang.


30. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih di atas sokongan, mandat dan restu kepada saya menjadi Presiden UPKO ke-3 bermula hari ini. Saya susuli mandat dan restu ini dengan tanggungjawab dan komitmen berkualiti tinggi sepertimana saya tunjukkan hari ini, melaksanakan amanah sebagai Ahli Jemaah Menteri Persekutuan dan Presiden UPKO pada hari yang sama. Komitmen inilah yang akan saudara-saudari lihat sepanjang penggal ini.


31. Saya akhiri ucapan penggulungan saya ini dengan merakamkan penghargaan terima kasih kepada insan-insan teristimewa saya, ibu, isteri, anak-anak dan ahli keluarga. Terima kasih banyak kepada rakyat Kadamaian dan Penampang. Terima kasih kepada semua ahli UPKO. Terima masih kepada Tan Sri Bernard, Datuk Seri Madius dan semua rakan pimpinan parti. Syukur dan terima kasih Tuhan Yang Maha Esa.


Salam hormat dari saya, Ewon Benedick, Presiden UPKO ke-3.


Terima kasih. Kotohuadan, pounsikou. Jumpa lagi.


bottom of page