Telaga Tiub bantu cegah kebakaran tanah gambut
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Telaga Tiub bantu cegah kebakaran tanah gambut


19 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA PENYU: Telaga Tiub yang dibina di kawasan hutan simpan boleh mengelakkan kebakaran tanah gambut yang serius, kata Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sabah (JAS), Amirul Aripin.


Beliau berkata, Sabah akan mengalami kemarau disebabkan purata hujan di bawah paras normal bermula November ini dan ini boleh menyebabkan kebakaran di hutan tanah gambut.


“Melalui mesyuarat jawatankuasa, Jabatan Meteorologi meramalkan akan berlaku kemarau di Sabah yang boleh mengakibatkan berlakunya kebakaran di hutan-hutan tanah gambut dan seterusnya mendatangkan jerebu.


"Kita telah adakan latih amal penggunaan Telaga Tiub di kawasan berisiko tinggi berlaku kebakaran. Telaga ini boleh mengepam air dari bawah tanah untuk memberi sumber air kepada pihak Bomba," katanya kepada media baru-baru ini.


Telaga Tiub adalah sebuah struktur yang digerudi di bawah tanah untuk mendapatkan air dari lapisan akuifer. Air ini boleh digunakan untuk memadam api di kawasan hutan tanah gambut yang sukar dimasuki oleh jentera besar Bomba.


Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah, Christopher Francis Tating, yang bertanggungjawab kepada Telaga Tiub, berharap agar lebih banyak telaga dapat dibina pada masa akan datang.


"Setakat ini, kita hanya ada 13 telaga tiub di sekitar semenanjung Klias. Kita patut tambah lagi kerana keluasan tanah gambut di Sabah sangat luas dan berisiko terbakar pada musim panas," jelasnya.


Tambah beliau, pembinaan telaga tiub menghadapi beberapa cabaran seperti kos, akses dan kedalaman.


Jelas beliau, kos untuk satu telaga ialah RM250 ribu. Pihaknya juga perlu cari kawasan yang sesuai untuk penggerudian kerana kedalaman telaga mencapai 50 meter. Dengan kedalaman itu, sumber air sentiasa ada untuk memadam api.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page