- nabalunews
Tengku Mahkota Pahang gesa tindakan tegas terhadap kenyataan Muhyiddin Yassin
19 Ogos 2024
KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah, menzahirkan kekecewaan yang mendalam terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan institusi raja, agama, dan bangsa (3R).
Baginda turut menggesa agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas dan tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang didakwa memperlekeh serta mempertikaikan tugas dan peranan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
"Sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan beliau tersebut memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
"Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.
"Kenyataan yang dikeluarkan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat," kata Baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Baginda, berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.
Malah, Al-Sultan Abdullah telah mengambil pendekatan berhati-hati dengan mendapatkan nasihat daripada pakar perlembagaan serta Majlis Raja-Raja sebelum membuat keputusan melantik Perdana Menteri yang baharu.
Dalam kenyataan baginda, Tengku Hassanal juga mengingatkan ahli politik untuk sentiasa berpegang teguh pada Prinsip Rukun Negara dan terus berusaha menyatupadukan rakyat demi kesejahteraan negara.
Sungguhpun begitu, KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik YAB Perdana Menteri walaupun perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada Baginda.
"Baginda semasa itu telah memanggil pakar-pakar perlembagaan, penjawat awam utama negara dan yang terakhir turut secara musyawarah mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja dan akhirnya barulah pelantikan Perdana Menteri semasa itu dibuat.
"Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada YAB Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022. Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah semasa Baginda memilih YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
"Justeru, saya mahu pihak PDRM mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R."
Comments