Terdapat jajaran khusus jalan raya dari Sabah ke Kalimantan, Indonesia - Shahelmy
- nabalunews
- Jul 7, 2025
- 1 min read

7 Julai 2025
KOTA KINABALU: Terdapat satu jajaran khusus jalan raya dari Sabah ke Kalimantan, Indonesia yang dicadangkan iaitu Projek Membina Jalan Baharu dari Kalabakan ke Sempadan Malaysia–Indonesia (Simanggaris).
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmy Yahya berkata, jajaran itu meliputi pembinaan jalan baharu yang akan menghubungkan jalan sedia ada iaitu Jalan Sapulut–Kalabakan ke sempadan Malaysia–Indonesia sepanjang 28 kilometer (km).
"Ia termasuk membina satu jalan spur yang akan menghubungkan Kampung Serudong Laut sepanjang 20km.," katanya pada sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob yang bertanya berapakah bilangan pembinaan jajaran jalan Sabah ke Kalimantan yang dicadangkan serta status sekarang cadangan tersebut, memandangkan Indonesia sudah mula berpindah ke Ibu Negara Baharu-Nusantara.
Shahelmy, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya Malaysia telah meluluskan Kajian Awalan dan Rekabentuk bagi projek ini di bawah Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-12 (RP3, RMKe-12).
Katanya, status semasa pada ketika ini, kerja-kerja di lapangan seperti kerja ukur tanah, utility mapping dan kerja penyiasatan tanah sedang giat dilaksanakan bagi menyediakan data dan maklumat untuk melengkapkan kajian dan rekabentuk projek berkenaan.
Shahelmy juga berkata, terdapat satu lagi cadangan jalan raya menuju ke sempadan Bantul, Pensiangan iaitu Projek Membina Jalan dari Pekan Pagalungan ke Pekan Sempadan Bantul, Daerah Pensiangan, Sabah.
"Ini telahpun diluluskan dalam Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) biayaan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan sekarang dalam proses perolehan," katanya.















Comments