'Terima kasih Shah Firdaus, teruskan berjuang' - PM Anwar
- nabalunews
- Aug 11, 2024
- 2 min read

11 Ogos 2024
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada pelumba berbasikal trek negara Muhamad Shah Firdaus Sahrom, atas aksinya pada final acara keirin lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.
"Terima kasih Shah Firdaus. Teruskan berjuang. Moga melakar kejayaan satu hari nanti,” katanya menerusi hantaran di X.
Muhamad Shah Firdaus disingkirkan pada final acara keirin lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, meskipun menamatkan cabaran di kedudukan keempat, hari ini.
Pada aksi itu, atlet berusia 28 tahun berasal dari Muar itu yang sedang memecut untuk menuju garisan penamat, dirempuh pelumba Jepun Shinji Nakano yang menyebabkan pelumba Great Britain Jack Carlin hilang kawalan sekali gus terjatuh, semasa pusingan terakhir di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome.
Meskipun keputusan pada mulanya menunjukkan Muhammad Shah Firdaus menamatkan saingan pada kedudukan keempat, keputusan itu tiba-tiba berubah ke kedudukan keenam.
Ia difahamkan ekoran tindakannya menghalang terlebih dahulu Nakano sebelum berlakunya perlanggaran.
Susulan itu, Shah Firdaus diturunkan untuk berada di kedudukan keenam manakala Nakano dan Carlin yang turut terbabit dengan pelanggaran diklasifikasikan sebagai DNF (tidak menamatkan perlumbaan).
Pingat emas acara itu milik pelumba Belanda Harry Lavraysen diikuti perak dan gangsa masing-masing milik Matthew Richardson dari Australia dan rakan senegaranya Matthew Glaetzer.
Malaysia secara rasmi menamatkan kempen Olimpik Paris dengan dua gangsa masing-masing menerusi perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton.
Sementara itu Shah Firdaus memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal menyumbangkan pingat dalam acara final keirin lelaki di Sukan Olimpik Paris.
Beliau tampil memohon maaf menerusi hantaran di Instastory miliknya.
Pelumba berusia 28 tahun yang berasal dari Muar, Johor, itu menjadi talian hayat terakhir kontinjen negara dalam misi memburu pingat emas pertama di Olimpik.
Kejayaan ke final itu juga cukup menggembirakan selepas kem negara berdepan detik duka jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang disingkirkan seawal saringan pertama acara itu pada Sabtu.















Comments