• Wartawan Nabalu News

TERJEJAS PANDEMIK, BELIA JUAL ROTI RM1 DARI BUT KERETA


6 Feb 2021


Oleh Ilona Andrew


KOTA KINABALU: Tidak dapat dinafikan bahawa pandemik Covid-19 memberi kesan buruk kepada sumber ekonomi semua lapisan masyarakat di negara ini kerana ramai yang kehilangan pekerjaan atau terpaksa diberhentikan kerja.


Namun begitu, bak kata pepatah ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, sesiapa pun mampu bangkit semula jika ada kemahuan.

Ridzuan

Bagi Ridzuan Jamal, 28, dia memilih untuk menjual roti RM1 dari keretanya semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dan tidak menyangka usahanya itu membawa keuntungan dan berkat kepada rakan-rakannya.

Semuanya bermula selepas beliau mengambil keputusan meninggalkan pekerjaan sepenuh masa sebagai Penyelia Jurutera Mekanikal dan Elektrik di sebuah syarikat swasta dan menceburkan diri dalam perniagaan roti bun RM1 yang juga dikenali sebagai ‘En. Rotiboy’.


Beliau mula menjual roti menggunakan kereta Perodua Axia miliknya pada November lalu dan terkejut apabila pendapatannya menjual roti lebih banyak berbanding pendapatan kerjanya sebelum ini.

Ridzuan berkata, dia mampu menjual sehingga 1,000 bun setiap hari. "Siapa yang tidak suka bun sedap yang dijual dengan harga RM1 sahaja, kan?" katanya.


"Salah seorang saudara saya memulakan perniagaan ini semasa PKP tahun lalu, tetapi penjualannya kurang laris kerana pada mulanya roti dijual pada harga RM2. Oleh itu, saya mencadangkan supaya beliau menjual pada harga RM1.

"Sejak itu, beliau mendapat permintaan tinggi dan di situlah saya menyedari bahawa perniagaan ini boleh pergi jauh, maka saya pun merebut peluang untuk turut serta dalam perniagaan ini," katanya ketika ditemui wartawan Nabalu News, semalam.


Apabila menyedari bahawa pendapatannya semakin banyak, beliau teringat tentang nasib rakan-rakannya yang lain yang turut mengalami masalah kewangan akibat Covid-19.


"Bagi saya, dalam rezeki kita, pasti ada rezeki orang lain. Lalu saya terfikir, mengapa tidak menawarkan peluang ini kepada rakan-rakan saya yang turut mengalami masalah kewangan?

En.Rotiboy juga menyediakan Mysejahtera App bar code untuk para pelanggan.

"Pada Disember tahun lalu, tujuh orang rakan saya yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 20-an menyertai saya dalam perniagaan ‘En. Rotiboy’.


“Setakat ini, hasil jualan mereka begitu baik. Tambahan pula, mereka memang suka dengan pekerjaan baharu ini," ujarnya.


Tambahnya, jualan roti meningkat sehingga 3,000 biji sehari sejak rakan-rakannya menyertai perniagaan itu.


Kesemua mereka menjalankan perniagaan menggunakan kenderaan sendiri di kawasan masing-masing yang meliputi Kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Kepayan, Likas, Tuaran, Sepanggar, Kimanis dan juga Beaufort, dan tidak lama lagi akan diperluaskan ke kawasan Membakut dan Sipitang.

Mereka bukan sahaja menyasarkan kawasan perumahan dan kampung sebagai lokasi penjualan, tetapi juga mempromosikan roti mereka di media sosial dan menawarkan perkhidmatan ‘cash on delivery’ (COD) kepada sesiapa yang memesan secara dalam talian.


"Apa yang paling disukai oleh rakan-rakan saya ialah perniagaan ini boleh dijalankan dalam waktu yang amat fleksibel. Selain itu, mereka juga dapat bertemu dengan orang baru setiap hari,” katanya.


Kini, Ridzuan bergelar sebagai pembekal roti ‘En. Rotiboy’ kepada rakan-rakannya yang telah menyertai perniagaan tersebut.

Sebagai pembekal, beliau akan bergerak ke Papar pada pukul 3 pagi setiap hari dan menghantar bekalan tersebut kepada rakan-rakannya pada pukul 7 pagi.


Katanya, pembuat roti bun yang juga saudaranya itu kini berjaya mendirikan kilang yang mempunyai 12 orang pekerja atas permintaan yang tinggi setiap hari.


“Daripada sembilan jenis roti bun yang kami jual, bun sambal bilis yang paling popular.


"Ada beberapa pelanggan yang memaklumkan bahawa inti roti bun terlalu sikit. Komen sebegini amat baik kerana ia dapat membantu kami memperbaiki kelemahan yang ada untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.


Salah seorang rakan Ridzuan yang menyertai perniagaan ini adalah seorang ayah yang diberhentikan kerja oleh majikannya semasa PKP pertama.

Heezam

Heezam Darmansyah, 29, berkata, beliau telah berusaha melakukan perniagaan lain untuk mencari sumber pendapatan seperti menjual pakaian bundel secara langsung di Facebook, tetapi ia masih tidak cukup untuk menyara keluarganya.


"Saya menyertai Ridzuan pada Disember tahun lalu kerana saya ingin melakukan sesuatu yang benar-benar dapat menyara keluarga saya.


"Pada hari pertama menjual roti bun, saya sungguh tidak menjangka bahawa saya berjaya menjual kesemua roti dalam masa kurang dua jam.


“Saya melihat peluang keemasan dalam perniagaan ini dan memutuskan untuk menyertainya. Kini sudah dua bulan saya menjadi penjual roti bun dan syukur kepada Tuhan, kini saya mempunyai sedikit sumber pendapatan untuk menyara keluarga saya,” katanya yang mempunyai seorang anak.

Heezam menyusun roti bun beliau sebelum memulakan pernaigaan.

Menurut Heezam yang berasal dari Tawau, beliau dapat menjual roti bun sehingga 300 biji sehari dan pada hujung minggu, penjualannya boleh melebihi jumlah itu.


"Kadang-kadang saya mendapatkan semula bekalan roti bun daripada Ridzuan pada hari yang sama kerana jualan roti saya sudah habis,” katanya.


Beliau menjual roti bun menggunakan kereta Perodua Axia setiap hari di kawasan Penampang dan Likas dari pagi hingga malam.


"Masa sangat fleksibel dan semuanya bergantung kepada kerja keras kita sendiri. Sebelum PKP, saya pernah menjual atau menghantar roti kepada pelanggan saya sehingga jam 1 pagi," katanya.


Rudy

Seorang lagi rakan yang turut mengambil peluang menyertai perniagaan ‘En. Rotiboy’ ialah Mohd Redhauddin Ahmad, 26, atau lebih dikenali sebagai Rudy, yang berasal dari Kota Belud.


Sebelum pandemik Covid-19, Rudy mengurus perkhidmatan sewa kereta dan mengadakan persembahan ‘busking’ di banyak tempat.


"Kita dapat melihat betapa banyaknya perniagaan kecil-kecilan terjejas teruk semasa PKP tahun lalu. Sebab itu saya membuat keputusan untuk menyertai perniagaan roti bun RM1 sehari sebelum PKP 2.0 dilaksanakan.


"Baru dua minggu saya menyertai perniagaan ini, tetapi saya sangat gembira dengan pendapatan yang saya perolehi setakat ini," katanya yang menjual roti bun sekitar kawasan Kepayan dan Putatan.

Menurut Rudy, satu-satunya kelemahan atau cabaran perniagaan ini ialah ia tidak dapat dijalankan ketika cuaca buruk.


“Sekiranya hujan, kami tidak dapat menjual kerana agak menyukarkan bagi kedua-dua penjual dan pelanggan.


"Alternatif lain yang kami buat ialah menawarkan perkhidmatan COD, tetapi bagi saya, saya lebih suka menjual roti bun secara langsung dari but kereta saya," jelasnya dan menambah perniagaan itu benar-benar membantunya dari segi sumber kewangan.


"Tanpa bantuan Ridzuan, saya tidak tahu apa yang boleh saya lakukan untuk bertahan dalam situasi sekarang ini,” kata Rudy.


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com