TERJEMAH LEBIH BANYAK TERBITAN SENI, BUDAYA, WARISAN KE BAHASA ASING - NANCY
- nabalunews
- Dec 1, 2020
- 2 min read

1 DIS 2020
KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berharap lebih banyak karya penulisan dan penerbitan buku berkaitan seni, budaya, warisan dan pelancongan diterjemah ke dalam bahasa asing.
Beliau berkata usaha itu dapat menarik minat masyarakat antarabangsa mengenali budaya majmuk dan destinasi pelancongan yang terdapat di Malaysia.
“Langkah itu juga sekali gus dapat menarik minat golongan pencinta buku atau ‘literary tourist’ untuk melancong ke destinasi menarik di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena penganjuran Anugerah Buku Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) 2020 yang diadakan semalam. Nancy berkata anugerah yang dilaksanakan menerusi Facebook PNM itu merupakan wadah terbaik untuk menobatkan buku-buku bermutu dalam senarai terbitan tempatan serta mengangkat karya terbaik Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata anugerah itu juga bagi menghargai sumbangan pemain industri perbukuan yang terdiri daripada penulis, penerbit, pembaca dan persatuan terhadap pembangunan buku negara, selain memartabatkan ilmu dan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.
“Anugerah ini juga adalah untuk menggalakkan penyerahan buku kepada PNM di bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) sebagai khazanah warisan bangsa dan negara serta menjadi pemangkin dan sokongan kepada inisiatif Industri Kreatif Negara selari dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC2020).
“Berdasarkan statistik, judul buku baharu yang didaftarkan di bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) pada 2019 adalah sebanyak 18,566,” katanya.
Pada anugerah itu, seramai 22 pemenang iaitu 11 penulis dan 11 penerbit memenangi wang tunai bernilai RM3,500 setiap seorang berserta trofi dan sijil penghargaan.
Buku yang dipertandingkan adalah mencakupi terbitan kali pertama pada 2018 dan 2019 yang diserahkan kepada PNM dengan kriteria utama adalah karya asli yang dihasilkan warganegara dan diterbitkan oleh penerbit Malaysia serta mematuhi standard antarabangsa seperti International Standard Book Number (Nombor Buku Piawaian Antarabangsa) (ISBN), Pengkatalogan dalam Penerbitan (PdP) dan kod jalur. - Bernama















Comments