Thailand, Kemboja setuju gencatan senjata serta-merta
- nabalunews
- Jul 29, 2025
- 1 min read

28 Julai 2025
PUTRAJAYA: Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN bertindak sebagai hos.
Menerusi kenyataan bersama selepas mesyuarat itu hari ini, Anwar berkata, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan beberapa langkah susulan.
Beliau berkata, ia termasuk untuk mengadakan mesyuarat tidak rasmi antara Komander Wilayah Tentera Wilayah 1 dan 2 Thailand serta Wilayah 4 dan 5 Kemboja pagi esok.
“Sekiranya disepakati, akan disusuli mesyuarat bersama Atase Pertahanan yang dipengerusikan ASEAN.
“Selain itu, kedua-dua negara turut bersetuju mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Umum (GBC) pada 4 Ogos ini yang akan dihoskan oleh Kemboja,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kedua-dua pihak juga bersetuju menyambung semula komunikasi secara langsung antara Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Pertahanan masing-masing.
"Menteri Luar dan Menteri Pertahanan Malaysia, Kemboja dan Thailand diarahkan untuk membangunkan mekanisme terperinci bagi pelaksanaan, pengesahan dan pelaporan berkaitan gencatan senjata.
"Mekanisme ini akan menjadi asas kepada keamanan berkekalan dan kebertanggungjawaban bersama," katanya.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, katanya bersedia menyelaras pasukan pemantau bagi mengesahkan dan memastikan pelaksanaan gencatan senjata.
Anwar berkata, Malaysia juga akan berunding dengan negara anggota ASEAN lain untuk turut serta dalam usaha pemantauan ini, mencerminkan komitmen serantau dalam menyokong keamanan di lapangan.
Selain itu katanya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut menghubungi kedua-dua pemimpin berkenaan dan menggesa supaya penyelesaian secara aman dicapai.
Terdahulu, mesyuarat khas berkenaan diadakan susulan insiden ketegangan yang memuncak di sempadan Thailand-Kemboja baru-baru ini.















Comments