Tiada Kompromi Terhadap Pemandu Mabuk
- nabalunews
- 9 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
6 April 2026
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada individu yang memandu dalam keadaan mabuk, selepas merekodkan sebanyak 255 operasi bersepadu di seluruh negara sepanjang tempoh Januari hingga Mac 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak 238 pertuduhan telah dibuat di mahkamah, dengan kadar tindakan undang-undang mencapai seratus peratus terhadap pesalah yang dikesan.
Penguatkuasaan yang ketat ini dilaksanakan menggunakan peralatan khusus seperti SD2+ dan EBA bagi memastikan ujian saringan alkohol dapat dijalankan dengan tepat dan cekap.
Menurut JSPT, operasi berskala besar ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, mencegah kejadian memandu dalam keadaan mabuk, meningkatkan kesedaran awam, serta menguatkuasakan undang-undang secara berterusan.
Berdasarkan peruntukan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987, pesalah yang didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol boleh dikenakan denda minimum RM10,000, hukuman penjara sehingga dua tahun, serta penggantungan lesen memandu untuk tempoh dua tahun.
JSPT mengingatkan bahawa memandu dalam keadaan mabuk bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah meningkatkan risiko kemalangan maut, mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain, dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan parah, atau kecacatan kekal seumur hidup.
Tiada alasan atau pengecualian akan diterima kerana satu kesilapan boleh menghancurkan masa depan individu dan meragut nyawa orang lain.
Orang ramai dinasihati supaya membuat keputusan bijak dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing atau melantik pemandu alternatif jika telah minum minuman beralkohol. JSPT menyeru semua pihak agar bersama-sama menjadikan jalan raya lebih selamat.















Comments