top of page

Tiada Lantikan Ketua Jurulatih, Sabah FC Kekalkan Barisan Kejurulatihan

  • nabalunews
  • Nov 26, 2024
  • 2 min read

26 November 2024


KOTA KINABALU: Sabah FC memutuskan untuk mengekalkan barisan kejurulatihan sedia ada dan tiada lantikan baharu bagi mengisi kekosongan Ketua Jurulatih musim ini menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang tidak menyambung kontraknya berakhir hujung bulan ini.


Pengurus Pasukan Sabah FC Rafie Robert berkata pihak pengurusan serta Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sebulat suara bersetuju terhadap dengan keputusan berkenaan.


"Pihak kejurulatihan sedia ada sudah memahami corak latihan serta taktikal ketika bersama Kim Swee. Kita yakin pemain sedia ada memang sudah serasi dengan corak pendekatan diterapkan kejurulatihan Kim Swee sekali gus berusaha mengekalkan momentum yang diperkenalkan sejak sekian lama.


“Apa yang penting ketika ini, semua pemain perlu bersiap sedia untuk menggalas tugas dengan memastikan sasaran ditetapkan pihak pengurusan dapat direalisasikan kelak,” katanya seperti dilaporkan media.


Rafie berkata pihaknya juga tidak ingin mengganggu atau mengubah apa yang telah diterapkan kepada pemain selama ini.


“Kita mahu semua pihak termasuk pemain perlu menjalani proses latihan seperti biasa, fokus serta mampu mengekalkan momentum kemenangan. Kita tidak mahu mereka terjejas dengan perubahan drastik yang dilakukan sekiranya memerlukan seorang jurulatih dalam tempoh terdekat,” katanya.


Difahamkan, barisan kejurulatihan sementara Sabah FC akan diketuai Ketua Jurulatih Sabah FC II, Alto Linus dan jurulatih kecergasan, Martin Stano.


Rafie berkata ketiadaan Kim Swee merupakan satu kehilangan besar buat pasukan Sabah FC.


“Kita tidak seharusnya terhenti begitu sahaja, malah terus berusaha dengan pihak kejurulatihan sedia ada untuk meneruskan sesi latihan untuk menghadapi perlawanan Piala Malaysia serta Liga Super nanti,” katanya.


Pada perlawanan terakhir Sabah FC bersama Kim Swee, menentang PT Athletic FC dalam saingan Piala Malaysia pada 23 November lalu, skuad The Rhinos membariskan pasukan kejurulatihan terdiri Mohammad Faisal Ahmad sebagai penolong ketua jurulatih, jurulatih penjaga gol Irwan Jamil, dan jurulatih kecergasan Martin Stano.


Sementara itu Kim Swee sah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu kelab Liga Indonesia, Persis Solo.


Perkara tersebut diumumkan secara rasmi oleh Persis Solo menerusi hantaran di laman Facebook rasmi pasukan itu awal pagi tadi.


Perkembangan itu sekali gus menjawab desas-desus berhubung hala tuju Kim Swee yang turut dikaitkan dengan struktur baharu skuad Harimau Malaya sebelum ini.


Persis Solo ketika ini menghuni tangga ketiga tercorot dalam carta liga dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi 11 perlawanan.


Sejak dilantik pada September 2021, Kim Swee membantu Sabah menamatkan Liga Super dalam kelompok tiga teratas bagi dua musim berturut-turut selain memacu kemaraan ke separuh akhir Zon Asean Piala AFC musim lalu.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page