Tiada masalah seimbangkan masa sebagai Menteri, Ahli Parlimen dan ADUN - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tiada masalah seimbangkan masa sebagai Menteri, Ahli Parlimen dan ADUN - Ewon


9 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick menyatakan tiada masalah bagi beliau untuk menyeimbangkan masa beliau sebagai Menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).


“Ramai yang bertanya kepada saya, bagaimana mahu membahagikan masa sebagai Menteri, Ahli Parlimen dan ADUN. Pada saya, ini semua bergantung kepada diri kita seperti kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.


“Kelmarin saya sehari penuh di Parlimen Penampang, hari ini pula saya di Kadamaian. Saya akan ke Putrajaya untuk melaksanakan amanah sebagai menteri, kemudian balik semula ke Sabah setiap minggu untuk melaksanakan mandat sebagai Ahli Parlimen dan ADUN.


“Saya telah menyatakan kepada pimpinan Kementerian dan agensi-agensi di bawah Kementerian mengenai aspirasi saya untuk menjalankan amanah sebagai menteri, Ahli Parlimen dan ADUN. Mereka memahami aspirasi saya,” katanya.


Ewon menyatakan akan meneruskan pendekatan beliau untuk menyantuni kawasan-kawasan yang diwakilinya, iaitu Penampang dan Kadamaian secara konsisten selain daripada melawat negeri-negeri dan daerah-daerah yang lain.


Beliau akan meneruskan program turun padang beliau di Penampang pada esok dan seterusnya di Kadamaian pada Ahad sebelum kembali ke Putrajaya.

bottom of page