Tiada percanggahan kenyataan saya dan Masidi, kata Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tiada percanggahan kenyataan saya dan Masidi, kata Ewon 



25 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menjelaskan bahawa, kenyataaan Datuk Masidi Manjun dan kenyataannya sebelum ini tidak bercanggah.

 

Beliau berkata, cadangannya sebelum ini ialah supaya kerajaan negeri mengemukakan surat tuntutan mengenai 40 peratus hasil persekutuan di Sabah kepada Kerajaan Persekutuan dengan lebih spesifik.

 

 “Saya menyatakan mengenai tuntutan 40 peratus hasil persekutuan di Sabah dengan lebih spesifik yang belum pernah dibuat sebelum ini.

 

“Oleh itu saya mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya menghantar surat tuntutan 40 peratus yang datanya sudah kita tahu iaitu hasil yang dikutip oleh Pejabat Hasil di Sabah, contohnya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Sabah atau Pejabat Kastam di Sabah.

 

“Pada saya ini adalah low hanging fruit yang datanya sudah ada tetapi tuntutannya belum dikemukakan. Manakala bagi hasil yang tidak dipungut oleh Pejabat Hasil di Sabah, ia perlu dibincangkan secara berasingan dan ianya sangat kompleks dan teknikal,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jelajah Undang-Undang Malaysia Madani 2024, di Dewan Gawir Kg Madsiang, di sini, hari ini.

 



Majlis itu disemprunakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Dato’ Sri Azalina Othman Said.

 

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, kenyataan Datuk Masidi adalah betul iaitu merujuk kepada kenyataannya supaya tuntutan dikemukakan dengan lebih spesifik.

 

“Tuntutan itu perlu menyatakan 40 peratus daripada sumber mana, misalnya daripada pungutan LHDN di Sabah, pungutan Kastam di Sabah dan sebagainya. Datanya sudah ada tetapi surat tuntutan itu belum dibuat.

 

“Saya percaya, kerajaan negeri sedang berbincang dan akan menghantarnya kemudian seperti yang dinyatakan oleh Datuk Masidi.

 

“Jadi tiada ada percanggahan daripada kenyataan saya dengan kenyataan Datuk Masidi dalam laporan media,” katanya.



Ewon berkata sebagai menteri daripada Sabah, beliau menyokong tuntutan itu tetapi beliau tidak boleh memfailkan atau mengemukakan surat tuntutan kerana hanya kerajaan Sabah yang mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian.

 

Kelmarin, dalam kenyataan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menyatakan bahawa Kerajaan negeri Sabah hanya akan mengeluarkan surat tuntutan kepada Putrajaya berkenaan 40 peratus hasil bersih pendapatan Persekutuan di Sabah selepas menerima data mengenai semua sumber pendapatan.

 

“Kita hanya boleh menetapkan asas untuk mengira bahagian 40% yang perlu dibayar oleh kerajaan Persekutuan kepada negeri selepas mendapatkan data ini,” katanya.

 

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page