Tiada Sesiapapun Akan Dilindungi Dari Sebarang Unsur Jenayah - Anwar
- nabalunews
- 9 minutes ago
- 1 min read

3 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Kerajaan tidak akan melindungi sesiapa saja termasuk tokoh berprofil tinggi sekiranya terlibat dalam sebarang unsur jenayah berkaitan kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu kematian tragis melibatkan pelajar tingkatan satu itu mencetuskan perhatian dan kebimbangan rakyat.
Bagaimanapun katanya, ia sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mencari kebenaran disebalik insiden menyayat hati berkenaan.

“Siasatan kes dijalankan secara telus dan profesional oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri.
“Saya bicara terus dengan Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri. Saya arahkan, buat siasatan secepat mungkin dan cari segala fakta. Mereka maklumkan, 60 orang telah diambil keterangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini,
Anwar berkata, kematian bukan soal ringan walaupun melibatkan anak petani miskin kerana itu tanggungjawab bersama untuk cari kebenaran dan bukan untuk terus menuduh sesiapa.
“Negara ini negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa pun terlibat, tidak kira Tan Sri, Datuk Seri, Menteri, kalau terbukti terlibat dalam jenayah atau pembunuhan, tidak akan diberi perlindungan.
“Tapi jangan kita sewenangnya memfitnah anak Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Timbalan Ketua Menteri,” ujarnya.
Sementara itu, Anwar berkata, laporan siasatan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Saya tidak campur tangan. Saya hanya tanya kepada Peguam Negara kerana rakyat mahu tahu. Dia kata, ya, laporan lengkap diterima Isnin lalu,” tegasnya.
Comments