top of page

Tidak wajar guna kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan umum kerjasama BN-PH pada PRN Sabah – Armizan

  • nabalunews
  • May 17
  • 2 min read

Armizan (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama pengamal media semasa Majlis Berama Media, Citra Tradisi #KPDNKITA di sini, pada malam Jumaat.
Armizan (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama pengamal media semasa Majlis Berama Media, Citra Tradisi #KPDNKITA di sini, pada malam Jumaat.

17 Mei 2025


PAPAR: Pengumuman kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah tidak sewajarnya menggunakan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kerana hanya membabitkan persefahaman dua parti gabungan.


Timbalan Setiausaha Agung Gbaungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan Ketua Sekretariat Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang juga setiausaha agung UMNO dan Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu telah menimbulkan polemik politik yang tidak membina di Sabah.


"Ini termasuk respon daripada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor," katanya ketika berucap di Majlis Bersama Media, Citra Tradisi #KPDNKITA di sini, pada malam Jumaat.


Menurut Armizan, keadaan terbabit menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menjelaskan pengumuman berkenaan apabila ditanya dalam sidang media ketika lawatannya ke Tawau.


Isu tersebut telah menjadi perhatian media dan rakyat di Sabah.


Armizan berkata, Asyraf dan Saifuddin seharusnya teliti dalam tindakan mereka.


Mereka bebas mengeluarkan kenyataan rasmi mewakili gabungan parti masing-masing, namun kepala surat rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan hanya boleh diguna pakai sekiranya pendirian tersebut mewakili konsensus semua gabungan parti," katanya.


Pada 9 Mei 2025, Saifuddin dan Asyraf mengumumkan kerjasama BN dan PH untuk PRN Sabah, menggunakan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang turut memaparkan logo parti-parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan.


Armizan turut mempersoalkan sama ada sekretariat terbabit boleh mengeluarkan kenyataan media rasmi tanpa merujuk kepada Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.


"Adakah Sekretariat Kerajaan Perpaduan juga akan mengeluarkan kenyataan seumpama itu berkaitan pilihan raya Sarawak kelak.


“Dan berharap Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fadillah Yusof dapat melihat perkara ini supaya perkara serupa tidak berulang pada masa depan.


Armizan berkata, keputusan membentuk kerjasama politik adalah hak setiap parti, tapi jangan gunakan platform Kerajaan Perpaduan untuk mengumumkan kerjasama yang melibatkan dua pihak.


"Kita juga perlu terima keunikan lanskap politik di negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor yang akan berdepan dengan PRN.


Kalau kestabilan adalah matlamat, kita menghormati sesama kita," katanya.


"Kapal GRS mungkin dilihat kecil oleh orang tertentu. Namun dengan izin tuhan, kapal kecil ini punyai muatan yang mencukupi untuk sampai ke destinasi," tegasnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page