Tiga Ditahan Insiden Pergaduhan Pulau Timba-Timba
- nabalunews
- 9 hours ago
- 1 min read

4 September 2025
SEMPORNA: Tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan individu dalam kejadian di Pulau Timba-Timba, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Jaafar Hakim berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.56 malam.
Katanya, laporan diterima daripada seorang lelaki berusia 27 tahun yang bekerja pengurus syarikat pelancongan.

“Pengadu mendakwa diserang oleh beberapa orang di pulau berkenaan semasa membawa sekumpulan pelancong.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada pertikaian bayaran mendarat di pulau berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pihak syarikat terlibat dipercayai telah membayar sejumlah bayaran kepada syarikat yang menjalankan aktiviti kutipam ‘landing fee’.
Bagaimanapun katanya, semasa mendarat di pulau berkenaan, pengadu telah diminta oleh syarikat lain yang turut mengutip bayaran untuk membayar yuram mendarat.
“Perkara ini telah menimbulkan pertikaian sehingga membawa kepada pergaduhan,” katanya.
Sementara itu, Jaafar berkata, kejadian turut mengundang komen negatif dari masyarakat di mana secara langsung mencemarkan imej Semporna sebagai daerah pelancongan.
Katanya, ia juga menimbulkan kegusaran dari segi keselamatan terutamanya kepada pelancong.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan setakat ini tiga lelaki berusia 25 hingga 27 tahun ditahan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.
Sehubungan itu, Jaafar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menjejaskan imej daerah Semporna.
Comments