top of page

TIGA KLUSTER BAHARU DIKENAL PASTI, EMPAT DIISYTIHAR TAMAT - KP KESIHATAN

nabalunews


22 Nov 2020


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tiga kluster baharu hari ini, manakala empat kluster diisytihar tamat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Tiga kluster baharu berkenaan ialah Kluster Pengkalan Barat, Kluster Bakti dan Kluster Bayam Indah.


Dr Noor Hisham berkata empat kluster diisytihar tamat adalah Kluster Kasih, Kluster Baiduri, Kluster Long dan Kluster Bestari.


Memperincikan kluster baharu itu, Dr Noor Hisham berkata Kluster Pengkalan Barat melibatkan Daerah Barat Daya di Pulau Pinang serta Daerah Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta di Perak dengan kes indeks (kes ke-42,002) dilaporkan positif COVID-19 hasil saringan di tempat kerja pada 10 Nov lepas.


"Sehingga hari ini sejumlah 251 individu telah disaring, dengan 19 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini," katanya dalam satu kenyataan media mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.


Kluster Bakti pula ​​​​​​melibatkan sebuah penjara dalam Daerah Seremban, Negeri Sembilan dengan kes indeks (kes ke-54,624) merupakan seorang banduan yang dilaporkan positif COVID-19 melalui saringan kemasukan tahanan ke penjara.


Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini sejumlah 481 individu telah disaring, dengan 16 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster itu.


Beliau berkata Kluster Bayam Indah pula melibatkan Daerah Kulim dan Kuala Muda di Kedah dengan sejumlah 70 individu telah disaring dengan 10 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini setakat hari ini.


"Kes indeks (kes ke-53,580) bagi Kluster Bayam Indah dilaporkan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala semalam," katanya.


Beliau berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 167 kluster, dengan 54 daripadanya melaporkan pertambahan kes. – Bernama


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page