top of page

Tiga Lelaki Ditahan, 41.63 Kilogram Syabu Dirampas di Ranau dan Telupid

  • nabalunews
  • 9 hours ago
  • 2 min read

ree

2 September 2025


KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan menahan tiga lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di daerah Ranau dan Telupid, Sabah, 28 Ogos lalu.


Menerusi operasi dalam tempoh kira-kira sejam itu turut berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 41.63 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.32 juta


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh bin Dikun berkata, bertindak atas maklumat, pasukan operasi membuat pemantauan di kawasan stesen minyak Petronas Kampung Kilimu, Jalan Ranau-Poring, Ranau, pada jam 8.15 pagi.

ree

Katanya, seorang lelaki berusia 31 tahun berjaya ditahan bersama sebuah beg bagasi hitam berisi 20 bungkusan plastik bertulis “Alishan Xin Juan Tea” yang mengandungi syabu.


“Hasil pemeriksaan mendapati dadah dengan berat kasar 21.3 kilogram dengan nilai dianggarkan RM681,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.


Jauteh berkata, suspek pertama berasal dari Miri, Sarawak dan kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hingga 5 September 2025.


Katanya, susulan kejayaan itu, polis meneruskan operasi di Telupid dan berjaya mengesan dan menahan kereta Perodua Bezza di perkarangan Masjid Jamek Yusof Al-Qardhawi, Telupid, pada jam 9.20 pagi.


“Pemeriksaan lanjut menemukan 20 bungkusan plastik syabu dengan berat kasar 20.33 kilogram bernilai sekitar RM650,560.


“Dua suspek berusia 24 dan 26 tahun yang berasal dari Lahad Datu dan Tawau itu terus ditahan untuk siasatan lanjut.


“Berdasarkan siasatan awal, ketiga-tiga suspek bertindak sebagai runner kepada pembekal dadah untuk menghantar bekalan dari Kota Kinabalu ke Tawau dan Semporna dengan bayaran RM1,000 bagi setiap kilogram syabu yang dihantar,” katanya.


Jauteh berkata, semua suspek mengaku terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Februari lalu dan ini merupakan kali ketiga mereka menjalankan kerja penghantaran.


“Hasil semakan rekod mendapati, dua suspek mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod jenayah.


“Turut disita dalam operasi itu ialah sebuah kereta Toyota Vios, sebuah kereta Honda City dan sebuah motosikal Yamaha Ego dengan nilai keseluruhan harta sitaan berjumlah RM62,000,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.


Sehubungan itu, Jauteh menegaskan pihak polis komited dalam usaha memerangi aktiviti pengedaran dadah tanpa kompromi.


Katanya, dadah adalah musuh nombor satu negara dan usaha itu hanya akan berjaya dengan kerjasama masyarakat.


“Orang ramai disaran agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah menerusi talian hotline JSJN 012-208 7222,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page