Tiga maut terkena renjatan elektrik ketika pasang alat solar di JKR Ranau
- nabalunews
- Dec 13, 2024
- 1 min read

13 Disember 2024
KOTA KINABALU: Satu tragedi berlaku di bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau pagi tadi apabila tiga pekerja kontraktor maut akibat terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pemasangan alat solar.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah memaklumkan, mangsa dikenali sebagai Gimbal, 25, Salleh, 34, dan Wong, 54, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai kesihatan.
“Bomba menerima panggilan pukul 10.46 pagi dan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian serta tiba pukul 10.48 pagi. Laporan mengatakan empat pekerja melakukan kerja di lokasi berkenaan namun seorang mangsa terselamat tanpa sebarang kecederaan,” menurut kenyataan tersebut.
Mangsa yang terselamat dikenali sebagai Dani, berusia lingkungan 20-an.
Pasukan bomba bertindak mengalihkan mangsa ke lokasi selamat dan menyerahkan mereka kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya wujud, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.03 tengah hari,” tambah kenyataan itu sambil memaklumkan operasi turut melibatkan pegawai daripada Sabah Electricity Sdn Bhd, Kementerian Kesihatan, dan polis.
Comments