Tiga tahun penjara untuk empat geng upik
- nabalunews
- Mar 19, 2025
- 1 min read

19 Mac 2025
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi, di sini, pada Selasa, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap empat individu yang dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang Geng Upik.
Semua tertuduh, Mahathir Jibarail, 49; Manan Ungok @ Salleh, 52; Mohd Faridzul Asmahadi, 32 dan Mohd Fikrie Asme, 29, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng.
Keempat-empat mereka dituduh mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan kerana membantu kumpulan jenayah terancang Geng Upik antara tahun 2015 hingga 2023.
Mahkamah memerintahkan keempat-empat tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Manan ditangkap pada 7 Januari 2025, manakala Faridzul dan Mahathir ditahan pada 25 Disember 2023 dan Mohd Fikri pada 12 Oktober 2023.
Sebelum ini keempat-empat tertuduh didakwa bersama 11 lagi individu lain iaitu Datuk Maslan Sani, 41; Fazrul Bahar, 32; Norsyafilah Pawawoi, 27; Shahlan Shah Abdul Samad, 37; Zulkahar Dusing, 38; Nelson Yen Yee Chung, 46; Alkan Abraham, 35; Rahman Burijin, 44; Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45; Mohd Fauzie Rablin, 33; dan Mazlan Mahmud, 41.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan berikutan risikan terhadap kumpulan jenayah terancang Geng Upik yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
Siasatan polis mendapati tertuduh membantu Geng Upik dalam kegiatan pengedaran dadah di Sabah.
Hasil siasatan, pihak berkuasa turut berjaya merampas 4.6 kilogram dadah jenis methamphetamine di Manggatal dan 53 kilogram di Tawau.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham, Lina Hanini Ismail, Siti Hajar Mat Radzi dan Nur Ainaa Ridzwan.
Manakala tiga tertuduh iaitu Mahathir, Manan dan Mohd Faridzul diwakili peguam Shahlan Jufri dan Mohd Fikrie diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.















Comments