top of page

Tiga Tonggak Utama Prasarana Digital Diperkasakan AI Melalui Peningkatan Ketersambungan - Fahmi

  • nabalunews
  • Oct 2, 2024
  • 3 min read

2 Oktober 2024


SEOUL: Malaysia menggariskan tiga tonggak utama untuk membangunkan Prasarana Digital yang dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI) dengan fokus untuk mengukuhkan ketersambungan dan teknologi, sekali gus membawa negara ke arah masa depan digital yang lebih inklusif dan mapan.


Dalam ucapan utama di persidangan GSMA Mobile 360 APAC 2024 di Seoul, Korea Selatan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menekankan bahawa Malaysia sedang giat melaksanakan inisiatif ini sebagai sebahagian daripada pelan transformasi digital negara.


Beliau menjelaskan bahawa tiga tonggak utama ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkasa jaringan komunikasi, tetapi juga untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, memacu kemajuan dan pertumbuhan ekonomi, menangani cabaran alam sekitar melalui teknologi inovatif, menggalakkan inklusiviti, dan membina masa depan yang lebih baik untuk semua.


“Pertama sekali, pelaksanaan dasar yang berwawasan adalah penting. Dasar-dasar ini meletakkan asas bagi ekosistem yang dinamik, memastikan sambungan yang inklusif dan berdaya saing.


“Pelan JENDELA Malaysia menjadi contoh komitmen ini, dengan sasaran mencapai 100 peratus liputan internet di seluruh negara menjelang 2025. Inisiatif ini telah menghubungkan ribuan isi rumah kepada internet berkelajuan tinggi, mengubah kehidupan dan mencipta peluang perniagaan baharu,” katanya dalam ucapannya yang bertajuk "Building the AI-Enabled Digital Backbone".


GSMA adalah sebuah organisasi global yang mewakili kepentingan pengendali rangkaian mudah alih di seluruh dunia dalam ekosistem mudah alih dan industri yang berkaitan.


Menurut Fahmi, tonggak kedua iaitu membangunkan infrastruktur yang mampan adalah sangat penting. Seiring dengan kemajuan negara, infrastruktur mesti tahan lasak dan mampu disesuaikan dengan cabaran masa depan.


Beliau berkata infrastruktur yang mampan menyokong transformasi dan meningkatkan keupayaan sesebuah negara untuk bertahan dan pulih daripada gangguan yang berpotensi.


Satu pencapaian terkini dalam landskap telekomunikasi Malaysia adalah kerjasama antara beberapa pengendali rangkaian mudah alih untuk mewujudkan rangka kerja perkongsian rangkaian enam hala.


Inisiatif ini, yang menggunakan teknologi Penyediaan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (Multi-Operator Core Network), meningkatkan kesalinghubungan, terutamanya di kawasan luar bandar, sambil mengoptimumkan penggunaan sumber dan menetapkan penanda aras untuk usaha kerjasama masa depan dalam sektor ini.


Fahmi juga menekankan pentingnya tonggak ketiga iaitu memupuk kemahiran di semua lapisan masyarakat, yang beliau gambarkan sebagai kritikal.


Beliau berkata Malaysia telah memperkenalkan program "AI untuk Rakyat" sebagai inisiatif program pembelajaran kendiri dalam talian, yang direka untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kecerdasan buatan.


Menteri Komunikasi itu berkata untuk merealisasikan visi negara, adalah penting untuk memastikan kesalinghubungan disokong oleh rangka kerja teknologi canggih yang menjamin kecekapan dan kemampuan menyesuaikan diri.


Beliau juga berkata rangkaian berkuasa AI memainkan peranan penting dalam usaha ini, dengan mengintegrasikan secara lancar dengan infrastruktur untuk meningkatkan prestasi dan selari dengan matlamat yang berwawasan.


“Sistem yang dipacu AI adalah pusat kepada pembinaan infrastruktur yang mampan dan tahan lasak. Ia sentiasa memantau dan mengoptimumkan prestasi rangkaian, yang secara signifikan mengurangkan masa henti dan kos operasi.


“Tambahan pula, pengoptimuman berasaskan AI memudahkan respons masa sebenar terhadap permintaan yang berubah, membolehkan rangkaian kita kekal dapat disesuaikan dan cekap,” katanya.


Namun, Fahmi menegaskan bahawa sistem AI juga boleh menjadi sasaran serangan, dan jumlah kos kerugian akibat jenayah siber dijangka mencecah US$10.5 trilion menjelang 2025.


Oleh itu, Fahmi berkata langkah-langkah keselamatan yang kukuh dan kewaspadaan yang berterusan adalah penting untuk melindungi rangkaian berkuasa AI, kerana AI juga memperkenalkan kompleksiti yang memerlukan kemahiran khusus.


Laporan Masa Depan Pekerjaan Forum Ekonomi Dunia menunjukkan bahawa walaupun 85 juta pekerjaan mungkin terjejas menjelang 2025, 97 juta peranan baharu dijangka muncul, yang menekankan perubahan dalam keperluan tenaga kerja dan bukannya pengurangan.


Ketika di Seoul, Fahmi telah mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Sains dan ICT Republik Korea, Yoo Sang-Im, pagi tadi.


Perjumpaan ini berlangsung sempena persidangan GSMA M360 APAC 2024.


Perbincangan antara lain menyentuh

hasrat untuk menambah baik intipati memorandum persefahaman melibatkan kerjasama dua hala dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menjelang November ini.


MoU itu telah ditandatangani pada 2019 oleh Malaysia dan Republik Korea.


Aspek penambahbaikan dicadangkan termasuk melibatkan teknologi AI yang kini semakin meluas digunakan dalam pelbagai bidang, sejajar perkembangan era digital.


"Banyak dalam perbincangan saya dengan syarikat-syarikat telekomunikasi di sini memberi fokus bukan sekadar kepada infrastruktur 5G, tetap juga ‘AI-powered 5G’, dan memanfaatkan internet yang laju untuk aplikasi AI.


"Mereka tidak memandang kepada 6G sekarang sebab mereka baru selesai pelaksanaan 5G sepenuhnya.


"Dalam kebanyakan perbincangan saya, sama ada dengan menteri atau pihak industri, mereka menunjukkan bahawa fokus sekarang adalah aplikasi," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page