top of page

Tiket penerbangan AirBorneo mula dijual hari ini

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

ree

10 Disember 2025


KUCHING: AirBorneo, syarikat penerbangan milik kerajaan negeri Sarawak hari ini melancarkan laman web serta pusat panggilannya, sekali gus memulakan jualan tiket susulan proses pengambilalihan MASwings yang dijadual dimuktamadkan pada akhir bulan ini.


Dalam kenyataannya, syarikat itu memaklumkan bahawa pelancaran tersebut merupakan langkah penting dalam peralihan operasi, khususnya melibatkan urusan pembelian tiket serta penyelarasan perjalanan penumpang.


“Bermula 10 Disember, penumpang yang ingin membuat pembelian tiket bagi perjalanan pada atau sebelum 13 Januari 2026 boleh terus menggunakan laman web MASwings.


“Manakala tiket bagi perjalanan selepas 14 Januari hanya boleh dibeli menerusi laman web baharu AirBorneo di www.airborneo.com,” menurut kenyataan itu.


Selain itu, pelanggan turut boleh membuat tempahan melalui pusat panggilan AirBorneo di talian 1-300-22-1388 (bebas tol) atau +60 82-537 555 untuk pemanggil antarabangsa.


Menurut syarikat itu, semua tiket dan tempahan MASwings yang sedia ada kekal sah tanpa sebarang perubahan terhadap tarikh dan tempoh penerbangan.


“Penumpang yang memegang tiket MASwings bagi perjalanan pada atau selepas 14 Januari 2026 akan menerima notifikasi individu mengenai pengeluaran semula tiket mereka di bawah AirBorneo,” jelas kenyataan itu.


Untuk maklumat lanjut mengenai peralihan tiket MASwings dan tempahan penerbangan, orang ramai boleh melayari www.airborneo.com atau menghubungi talian khidmat pelanggan syarikat berkenaan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page