top of page

Tindakan biadab Calvin Chong memalukan Sabah di mata dunia - Chan

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 2 min read

14 Jun 2025


KOTA KINABALU: Ketua DAPSY Sabah, Chan Loong Wei, hari ini mengecam keras tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong, yang membuat laporan polis serta mengeluarkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap projek pelaburan kilang keluli Esteel di Sipitang.


Menurutnya, tindakan Calvin membuat laporan polis terhadap pelabur asing bukan saja melampau dan tidak masuk akal, malah mencemarkan imej Sabah sebagai destinasi pelaburan yang diyakini.


Katanya, syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. telah pun membuat bayaran deposit tanah sebanyak RM35 juta kepada pihak pengurusan Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP).


“Ia satu jumlah yang cukup besar dan jelas menunjukkan komitmen pelabur terhadap pelaburan jangka panjang di negeri ini.


“Kalau benar syarikat ini hanyalah ‘kosong’ seperti yang didakwa, adakah mereka sanggup membayar puluhan juta ringgit secara tunai? Fakta ini dengan sendirinya sudah cukup untuk menepis segala tuduhan liar dan fitnah yang tidak bertanggungjawab,” katanya.


Chan berkata, Calvin Chong hanya memilih fakta yang sesuai dengan naratif politiknya, dan langsung tidak mengambil kira bahawa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum ini pernah mengenakan moratorium terhadap kelulusan baharu industri keluli.


Katanya, ia satu langkah Kerajaan Persekutuan bagi mengawal lebihan kapasiti dan mengelak risiko lambakan, demi melindungi industri tempatan.


“Tuduhan beliau bukan saja memperlekeh dasar awam yang sah, tetapi juga memperlihatkan kelemahan pemahaman terhadap proses perindustrian negara.


“Projek pelaburan Esteel telah melalui pelbagai proses kelulusan ketat oleh agensi Persekutuan dan Negeri, termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Jabatan Alam Sekitar (DoE), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pelbagai lagi pihak berautoriti.


“Malah, pelancaran rasmi projek berkenaan baru-baru ini telah disempurnakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri.


“Jadi, apabila Calvin Chong mempersoalkan kesahihan projek ini, ia seolah-olah mempertikai profesionalisme penjawat awam dan integriti seluruh sistem pentadbiran negara,” katanya.


Chan turut mempersoalkan mengapa Calvin Chong tidak memilih untuk membangkitkan isu ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang bakal berlangsung, sebaliknya memilih untuk membuat laporan polis dan mencipta persepsi menerusi media.


“Sebagai ADUN, beliau mempunyai akses sepenuhnya kepada kementerian untuk mendapatkan penjelasan, atau sekurang-kurangnya boleh terus hubungi menteri ataupun saya.


“Tetapi beliau memilih untuk menjadi isu ini sebagai isu politik. Maka saya cabar beliau, bawa isu ini ke dalam Dewan dan berdepan secara terbuka. Jangan bersembunyi di balik laporan polis.”


“Kalau rasa takut debat dalam Dewan, mari kita buka pentas debat awam, kita lawan hujah, bukan lawan persepsi. Biar rakyat Sabah nilai sendiri.”


Chan turut menjelaskan bahawa syarikat induk Esteel, GreenSteel Limited yang berpangkalan di Singapura, merupakan sebuah syarikat sah dan bereputasi, yang baru-baru ini telah mengambil alih saham syarikat Southern Steel Bhd di Pulau Pinang, selain memiliki kepentingan dalam Antara Steel di Labuan.


Fasa pembinaan penuh dijangka bermula sekitar Julai hingga Ogos 2025 di kawasan industri SOGIP, Sipitang.


Akhir sekali, Chan menegaskan bahawa DAPSY Sabah sentiasa terbuka terhadap sebarang bentuk semak dan imbang, tetapi ia mesti dibuat secara berfakta dan bertanggungjawab.


"Kita alu-alukan semakan terhadap mana-mana projek pelaburan, tetapi jangan sesekali menjadikan isu pelaburan sebagai alat politik murahan.


“Sabah perlukan pembina, bukan pemusnah. Dan yang paling penting Sabah tidak boleh lagi dilabel sebagai zon berisiko oleh pelabur antarabangsa hanya kerana sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemimpin,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page