- nabalunews
Tindakan tatatertib bakal dikenakan, jika Ketua Jabatan gagal lapor salah laku pegawai - PM Anwar
16 Ogos 2024
PUTRAJAYA: Tindakan tatatertib bakal dikenakan terhadap Ketua Jabatan yang gagal melaporkan salah laku pegawai bawahannya, langkah yang dijangka menjejaskan peluang kenaikan pangkat mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap Ketua Jabatan perlu memainkan peranan penting dalam memperkukuh integriti dan tatakelola Perkhidmatan Awam.
"Kerana ada Guru Besar, Ketua Jabatan, hendak jaga imej jabatan dan jaga imej sekolah, budak itu didera setengah mati, tidak dilapor kepada polis, ada Ketua Jabatan tahu pegawainya punyai kekayaan yang lebih, tidak dilaporkan, maka tanggungjawab kalau itu terbukti tidak dilaporkan, maka Ketua Jabatan itu tidak akan dinaikkan pangkat," kata Anwar dalam ucapannya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 (MAPPA) di sini.
Beliau juga mengarahkan Ketua Jabatan untuk melaksanakan pusingan kerja (job rotation) secara berterusan bagi mencegah salah laku di kalangan pegawai, dengan menekankan bahawa penugasan yang bersifat pentadbiran tidak boleh membebani perkhidmatan utama seperti doktor di hospital dan pegawai polis di lapangan.
Selain itu, Anwar menyatakan bahawa cadangan ini perlu dilaksanakan sebelum pembentangan Belanjawan pada Oktober dan pelaksanaannya dijadualkan bermula pada 1 Disember depan.
Comments