Wartawan Nabalu News
TINDAKAN TEGAS, KOMPAUN RM1,000 TERHADAP INDIVIDU INGKAR SOP PKP
22 Jan 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengenakan kompaun RM1000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ini kerana kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKP hari ini semakin menurun iaitu 92.25 peratus.
“Kadar pematuhan SOP yang rendah ini disebabkan ramai dari kalangan ibubapa dan penjaga yang menghantar pelajar ke sekolah mengambil peluang membeli belah menyebabkan bilangan kenderaan dan pergerakan orang ramai di kawasan bandar semakin meningkat.
“Kerajaan Negeri memandang berat perkembagan ini dan menasihatkan orang ramai agar mematuhi peraturan yang ditetapkan dan hanya membeli barang-barang keperluan di tempat masing-masing dalam radius 10 KM.
"Oleh itu katanya, PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar SOP PKP,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, kadar pematuhan bagi daerah Sipitang sebanyak 94 peratus, Ranau, Kota Belud, Kunak, Tenom, Beluran, Kota Marudu, Kinabatangan dan Beaufort masing-masing 93 peratus, Kudat, Papar, Tuaran, Keningau sebanyak 92 peratus dan Sandakan, Kota Kinabalu, Penampang, Lahad Datu dan Tawau masing-masing 91 peratus.
Comments