TM komited bantu peniaga kecil jadi usahawan digital
top of page
  • Wartawan Nabalu News

TM komited bantu peniaga kecil jadi usahawan digital


3 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


MEMBAKUT: Telekom Malaysia Berhad (TM) bertekad untuk membantu golongan peniaga kecil di Membakut dalam mengembangkan perniagaan mereka secara digital.


Ini sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Sabah sebagai salah satu negeri yang mempunyai liputan internet yang luas menjelang tahun 2024.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Arif yang juga ADUN Membakut berkata, beliau mengalu-alukan usaha TM dan berharap peniaga kecil di kawasan ini dapat memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan taraf hidup mereka.


“Kita bersyukur dengan komitmen TM untuk membimbing peniaga kecil di Membakut ini khususnya dalam menjalankan perniagaan secara dalam talian. Untuk tujuan ini, kita akan bekerjasama dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk menyelaras program dalam bidang perniagaan online,” katanya.


Beliau yang juga Exco Komunikasi Negeri Sabah berkata, selain Membakut, TM juga akan melaksanakan beberapa program di seluruh negeri ini bagi memastikan Sabah mencapai sasaran 90 peratus liputan internet pada tahun 2024.


“Selepas pertemuan saya dengan Menteri Komunikasi dan Digital baru-baru ini, kita dapati beliau seorang yang komited dan telah mengarahkan agensi-agensi berkenaan untuk mengambil tindakan. Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau khususnya dalam kita sama-sama memastikan Sabah mendapat liputan menyeluruh dalam tahun 2024,” ujarnya.


Beliau juga optimis bahawa pendigitalan akan memberi manfaat kepada pelajar, usahawan dan masyarakat umum dalam mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat.


Arifin berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan Yayasan TM kepada 137 anak yatim dalam Majlis Cahaya Ramadhan Setulus Ikhlas Yayasan TM di Dewan Sri Wawasan Kg Pimping, pada Sabtu. Beliau turut diiringi Pengurus Besar TM Sabah, Datuk Sainal Mohd Amin dan Penolong Pegawai Daerah, Ibrahim Terki.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page