TNG Digital lancar Akaun Perniagaan bantu PMKS
- nabalunews
- Jun 19
- 1 min read

19 Jun 2025
PETALING JAYA: Pelancaran Akaun Perniagaan oleh TNG Digital Sdn Bhd, dijangka mampu membantu perkembangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan akses lebih mudah kepada kemudahan digital.
Akaun e-wallet itu dibangunkan bagi menghapuskan halangan tradisional dalam pembukaan akaun perniagaan tanpa memerlukan bayaran, dokumen fizakan atau baki minimum.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Dr Fuziah Salleh berkata, ia memberi nilai tambah kepada PMKS menerusi ciri keselamatan yang dipertingkat, pemantauan transaksi serta fleksibiliti dalam pengurusan perniagaan secara lebih cekap.
“Usaha ini merupakan langkah penting ke arah mewujudkan sistem yang lebih mudah diakses, khususnya bagi golongan yang sebelum ini kurang mendapat manfaat daripada kemudahan digital.
“Inisiatiaf ini juga memastikan semua pihak berpeluang untuk turut serta serta meraih manfaat dalam perkembangan ekonomi baharu,”katanya dalam kenyataan selepas menyempurnakan majlis pelancaran itu, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, pelancaran produk itu juga diharap menjadi pemangkin kepada pemain industri lain dalam membantu memacu sektor perdagangan dalam negeri dan seterusnya meningkatkan hasil pendapatan negara.
“KPDN akan terus menyokong usaha pemain industri dalam memperkukuh kemudahan aplikasi tanpa tunai terutamanya dalam kalangan PMKS, seiring dengan hasrat kementerian untuk mendigitalkan peniaga di kawasan luar bandar serta mewujudkan masyarakat tanpa tunai,” katanya.
Selain itu katanya, KPDN akan terus memperkukuh usaha pendigitalan menerusi Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) bagi memastikan peniaga dan pengguna menikmati kemudahan pembayaran tanpa tunai secara menyeluruh.
“Sebagai sebahagian usaha berterusan, Program Kembara ReDI di Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan pada hujung bulan ini untuk tujuan advokasi kepada peniaga dan pengguna, serta mempromosi pendaftaran e-dompet,” katanya.
Fuziah turut menyeru masyarakat untuk memainkan peranan dalam mendorong perubahan ke arah pendigitalan demi menjayakan agenda transformasi digital negara.
Comments