top of page

TPNS Salur RM40 Juta Bantuan Sejak Dilancar - Hajiji

nabalunews
1 day ago
2 min read

26 Sept 2026


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) telah menyalurkan bantuan berjumlah RM40 juta sejak dilancarkan pada 2 Jun 2022.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, penubuhan TPNS berasaskan tema 'Peluang Tajaan Untuk Semua' terbukti menjadi instrumen penting dalam memperluas akses bantuan pendidikan kepada rakyat.


"Sejak ditubuhkan pada 2022, TPNS telah menyalurkan RM40 juta bantuan yang memberi manfaat kepada 27,781 pelajar di seluruh Sabah.



"Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, seramai 11,383 pelajar dari seluruh pelosok Sabah menerima manfaat bantuan TPNS berjumlah RM15.89 juta.


"Majlis ini penting dalam membuka ruang dan peluang kepada anak-anak Sabah untuk terus belajar, mencapai cita-cita dan membina masa depan yang cerah.


"Sebuah negeri tidak akan dapat melangkah maju tanpa sistem pendidikan yang kukuh dan berkualiti.


"Kita mesti melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran, berintegriti dan mampu bersaing kerana inilah pelaburan paling penting untuk masa depan Sabah.


"Pada hari ini, seramai 362 penerima bantuan TPNS daripada sekitar daerah Kota Kinabalu menerima manfaat berjumlah RM6.79 juta.


"Penyerahan bantuan pendidikan ini merupakan bukti nyata bahawa kerajaan tidak pernah membiarkan mana-mana anak Sabah tercicir daripada mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Penyampaian Bantuan TPNS dan Pelancaran Sistem TPNS Smart Application di Dewan Bankuasi Menara Kinabalu, di sini, pada Jumaat.


Hajiji berkata, komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan pendidikan turut diterjemahkan menerusi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dengan peruntukan RM155 juta tahun ini.


"Peruntukan BKNS meningkat lebih tiga kali ganda berbanding RM50 juta pada tahun 2020.

"Peruntukan ini memberi manfaat kepada ribuan pelajar di pelbagai peringkat, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)," ujarnya.


Beliau turut memaklumkan sepanjang tahun 2021 sehingga 2025, sebanyak 14 inisiatif berkaitan pendidikan diperkenalkan antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan bantuan tiket penerbangan kepada pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata gelombang transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan pendidikan negeri dimulakan menerusi pelancaran Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) pada 2 Julai 2024.


"Bagi memperkukuh momentum pemodenan ini, pada hari ini kita melangkah setapak lagi ke hadapan menerusi pelancaran Sistem TPNS Smart Application yang membolehkan permohonan bantuan TPNS dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya.


"Pemohon juga boleh menyemak status permohonan secara masa nyata dengan proses lebih telus dan mesra pengguna.


"Dengan kemudahan ini, proses permohonan diharap menjadi lebih mudah, cepat dan teratur khususnya bagi anak-anak Sabah di seluruh pelosok negeri terutama di kawasan luar bandar," ujarnya.


Beliau turut menyeru lebih banyak syarikat korporat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi serta meraih keuntungan di Sabah, tampil melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi sumbangan kepada TPNS.


Hadir sama, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Dr. Gulamhaidar Khan Bahadar dan Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Datuk Jasnih Daya./Penerangan-

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page