top of page

Tradisi Terus Subur: Kaamatan 2025 Meriah di Kampung Tuguson

  • nabalunews
  • Jun 26
  • 1 min read

26 Jun 2025


KOTA BELUD: Sambutan Pesta Kaamatan bagi Kampung Tuguson berlangsung dalam suasana penuh adat dan budaya di Dewan Terbuka Kampung Pinamo Tuguson, hari ini.


Majlis dirasmikan oleh Pemimpin Pemaju Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, yang hadir bagi mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.


Saikom dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas usaha komuniti dalam menganjurkan sambutan yang sarat dengan pengisian budaya dan nilai kemasyarakatan.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada tanda sokongan terhadap pembangunan seni dan keusahawanan tempatan.


“Sambutan ini bukan sahaja memperkukuh ikatan masyarakat setempat, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memelihara serta memartabatkan adat dan budaya etnik Kadazandusun di Sabah.


“Kejayaan penganjuran Kaamatan peringkat kampung ini jelas menunjukkan semangat gotong-royong dan kecintaan masyarakat terhadap warisan nenek moyang yang tidak ternilai,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Pemimpin Masyarakat (CDO), Juin Kolod dan Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran.


Pada majlis berkenaan, Saikom turut menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Peniaga Tamu yang terlibat dalam sambutan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Penganjur, Laman Pansai berkata, pelbagai acara telah disusun bagi menyemarakkan sambutan kali ini termasuk persembahan koir, persembahan tarian tradisional serta beberapa pertandingan berunsurkan budaya dan tradisi setempat.


“Antara aktiviti yang mendapat sambutan ialah pertandingan makanan tradisional, Ratu Fesyen Kanak-Kanak, Pertandingan Bina Badan Kanak-Kanak dan pertandingan bercerita dalam bahasa Dusun.

“Begitu juga pertandingan Buvazoi Tavantang (Mr. Kaamatan), pertandingan Zandi Tavanus (Ratu Puan), dan acara kemuncak Unduk Ngadau,” katanya.

Selain itu, katanya, turut diadakan gerai jualan makanan dan minuman yang menyediakan aneka juadah tradisional kepada para pengunjung.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page