Transaksi SARA cecah RM110 juta dalam dua hari
- nabalunews
- Sep 2, 2025
- 1 min read

2 September 2025
PUTRAJAYA: Program bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus mencatat sambutan tinggi dengan transaksi mencecah RM110 juta dalam tempoh dua hari pelaksanaan sejak Ahad.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), sehingga jam 9.30 malam tadi, lebih 900,000 penerima berjaya menyempurnakan perbelanjaan bernilai RM60 juta pada hari kedua program, menjadikan jumlah keseluruhan lebih 1.7 juta penerima telah berbelanja di seluruh negara.
MOF berkata, susulan ledakan transaksi pada hari pertama pelaksanaan, peningkatan kapasiti sistem oleh MyKasih membolehkan 20 peratus lebih banyak transaksi semalam.
“Meskipun kapasiti telah dipertingkatkan, sistem masih mencatatkan kesesakan pemprosesan transaksi di beberapa lokasi terutama di pasar raya besar pada waktu puncak antara jam 1.00 hingga 2.30 petang.
“Bagi menangani situasi ini, petugas MyKasih telah ditempatkan di lokasi terpilih untuk memberi bantuan secara terus kepada pengguna dan peniaga,” menurut kenyataan kementerian itu pada Isnin.
Orang ramai turut dinasihatkan merancang pembelian pada waktu bukan puncak bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar.
Kredit RM100 Penghargaan SARA sah digunakan sehingga 31 Disember 2025 di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.


















Comments