Transisi kepimpinan parti suntik semangat baharu golongan muda sertai UPKO: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Transisi kepimpinan parti suntik semangat baharu golongan muda sertai UPKO: Ewon



7 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTATAN: Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, transisi kepimpinan parti itu memberikan semangat baharu kepada rakyat Sabah khususnya golongan muda untuk menyertai parti itu.


Calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Penampang itu berkata, kemasukan ahli-ahli dari parti lain ke dalam UPKO juga jelas menunjukkan parti itu dan gabungan Pakatan Harapan semakin menjadi pilihan utama para pengundi di negeri ini.


“Selaku bakal Presiden UPKO, saya mengalu-alukan mantan Ahli Parlimen Penampang Paul Nointien ke dalam parti ini dan sebagai Ketua Penaja UPKO Putatan.


“UPKO Putatan memang sudah lama diwujudkan tetapi tidak aktif dalam dua tahun ini. Dengan penyertaan beliau hari ini, saya yakin Upko Putatan bukan hanya menyumbang kepada kekuatan parti tetapi lebih penting penyertaan beliau dan 1,288 ahli menyumbang kemenangan Pakatan Harapan di Parlimen Putatan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Penaja Parti UPKO Putatan di Kediaman Paul Nointien, Kg.Tombovo, di sini, hari ini.


Turut hadir Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Mojuntin dan bekas Ahli Parlimen Putatan Datuk Marcus Mojigoh.


Ewon berkata, minat baru golongan belia yang belum menyertai mana-mana parti sebelum ini untuk menyertai UPKO dan penyertaan ahli parti lain ke dalam UPKO amat dialu-alukan.


“Keputusan rakyat Sabah sama ada yang pernah menjadi ahli parti atau memimpin parti lain atau anak-anak muda yang belum menyertai mana-mana parti sebelum ini menyertai UPKO mungkin disebabkan mereka ingin tahu halatuju saya dalam parti ini.


“Saya amat mengalu-alukan penyertaan mereka ke dalam UPKO untuk sama-sama memperkasakan lagi parti ini dan juga gabungan Pakatan Harapan serta parti-parti lain dalam gabungan PH,” katanya.


Sementara itu, di Kg.Notorus Penampang, Ewon turut menerima keahlian baharu dan seterusnya merasmikan cawangan baharu di Kg.Sosopon, di sini.


“Ini menujukkan transisi kepimpinan UPKO berjaya mencipta satu semangat baru kepada rakyat Sabah untuk menyertai parti ini,” katanya.


Mengenai pemilihan parti, Ewon berkata, ia terpaksa ditangguhkan ke bulan Disember ini atau Januari tahun depan bagi memberikan laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


“Dari segi transisi kepimpinan pula, ia telah ditetapkan iaitu presidennya ialah saya, Timbalan Presiden, Datuk Donald Mojuntin dan ahli-ahli majlis tertinggi juga telah ditetapkan sebelum ini (menang tanpa tanding),” katanya.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page