top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tun Juhar dilantik semula sebagai TYT Sabah


23 December 2022

By Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Tun Juhar Mahiruddin menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung khidmatnya sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah bagi tempoh dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini, pada Jumaat (hari ini).


Istiadat pengurniaan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Pelantikan Tun Juhar, 69, sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah untuk penggal keempat sekaligus menyaksikan beliau memegang jawatan berkenaan selama lebih 10 tahun sejak dilantik pada 1 Januari 2011.

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10 menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah.


Tun Juhar yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Wolverhampton Polytechnic, England pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 2002 hingga 2010 dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dari 1990 hingga 1999.


DUN Sabah sebelum ini meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi menghapuskan tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Negeri Sabah yang selama ini dihadkan kepada dua penggal.


Menurut perlembagaan Sabah, pelantikan Yang Dipertua Negeri adalah selama empat tahun tetapi boleh dipanjangkan mengikut kesesuaian termasuk boleh disingkirkan dengan majoriti dua pertiga DUN dan dipersetujui oleh Yang Dipertuan Agong.

bottom of page