top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tuntutan 40 peratus: Keputusan Mahkamah tepat, kata Pemuda UPKO 



20 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Rayuan untuk membenarkan Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung pemberian khas 40 peratus adalah tepat.

 

Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Malaysia, Felix Joseph Saang berkata, keputusan itu sememangnya amat disambut baik dan membuktikan hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak wajar dipertikaikan.

 

Katanya, semua pihak seharusnya menghormati keputusan berkenaan dan bekerjasama untuk mencari penyelesaian terbaik kepada isu tersebut.

 

“Pemuda Upko berharap agar tuntutan hak 40 peratus dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat direalisasikan.

 

“Kita juga berharap perbicaraan itu kelak dapat dijalankan dengan adil dan isu tuntutan ini boleh diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan membenarkan SLS memulakan prosiding semakan kehakiman.

 

Semakan berkenaan adalah percubaan menguatkuasakan pemberian khas 40 peratus yang Sabah berhak di bawah Perlembagaan Persekutuan.

 

Sehubungan itu, Felix berkata, Pemuda Upko akan terus memainkan peranan dalam menyokong, mendesak serta menuntut agar MA63 dapat dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya.

 

Katanya, tuntutan berkaitan hak-hak kepentingan Sabah di dalam MA63 tidak berasaskan kepentingan politik sebaliknya perlu direalisasikan demi kesejahteraan wilayah Sabah.

 

“Komitmen dan kesungguhan Upko tidak pernah berhenti dalam perkara ini untuk menuntut hak-hak dan kepentingan wilayah Sabah,” tegasnya.

Comments


bottom of page