nabalunews
Tuntutan kerja lebih masa palsu bernilai RM146,000, jururawat antara 5 penjawat awam ditahan SPRM
10 September 2024
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan lima penjawat awam yang berkhidmat di sebuah pusat kesihatan di negeri ini kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berhubung kerja lebih masa pada 2020 hingga 2021 bernilai kira-kira RM146,000.
Menurut sumber, suspek yang terdiri daripada seorang penolong pegawai perubatan dan empat orang jururawat telah ditahan kira-kira jam 9.40 pagi tadi ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek yang terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berhubung kerja lebih masa dari tahun 2020 hingga 2021 sedangkan perkara tersebut tidak dilaksanakan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau memberitahu, kesemua suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan akan dituduh pada 12 September ini di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
Comments