TVET platform terbaik bina tenaga kerja berkemahiran tinggi
- nabalunews
- Jul 9, 2025
- 2 min read

9 Julai 2015
KOTA KINABALU: Belia Sabah perlu merebut peluang untuk menyertai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerana kursus-kursus yang ditawarkan hari ini adalah selari dengan kehendak pasaran kerja semasa, sekali gus menjamin kebolehpasaran graduan,” katanya.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam era Revolusi Industri 4.0 dan gelombang pendigitalan, kemahiran dalam bidang teknikal, automasi dan kecerdasan buatan (AI) merupakan aset yang amat bernilai.
“Jika belia Sabah tidak dilengkapi dengan kemahiran ini, kita akan ketinggalan dalam arus perubahan ini. Maka, TVET ialah platform terbaik untuk membina tenaga kerja berkemahiran tinggi yang akan memacu kemajuan Sabah,” katanya sempena Simposium TVET Sabah di Magellan Sutera Harbour & Resort, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam. Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya usaha memperkukuh ekosistem TVET bagi memastikan belia Sabah berdaya saing dalam pasaran kerja dan tidak lagi terperangkap dalam kitaran pengangguran.
Katanya, penubuhan Majlis TVET Sabah pada Mei tahun ini merupakan satu anjakan paradigma yang penting dalam landskap pembangunan TVET negeri.
Beliau menegaskan bahawa TVET tidak lagi boleh dianggap sebagai sekadar satu pilihan. “Sebaliknya, ia perlu diterima sebagai pilihan arus perdana dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu membentuk masa depan Sabah.
"TVET bukan hanya memberikan kemahiran teknikal, malah memperkasa individu, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri menyedari bahawa kemahiran teknikal dan vokasional adalah tunjang kepada pembangunan negeri yang kaya dengan pelbagai potensi termasuk sumber asli, sektor minyak dan gas, pertanian, pelancongan dan pembuatan.
“Namun, untuk meneruskan pertumbuhan sektor-sektor, kita memerlukan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi kehendak industri yang semakin rancak membangun di negeri ini,” katanya.
Dalam konteks ini, Ketua Menteri menekankan peranan penting ibu bapa dan masyarakat. “Kerajaan Negeri menyeru golongan belia untuk melihat TVET sebagai pilihan utama dan bukan sekadar alternatif dalam merancang masa depan mereka.
Katanya, komitmen kerajaan dalam membangunkan modal insan jelas dapat dilihat menerusi pelbagai inisiatif dan pelaburan.
Katanya, usaha-usaha yang dilakukan kerajaan hari ini kini mula membuahkan hasil. Statistik terkini menunjukkan kadar pengangguran di Sabah telah menurun daripada sekitar 8.2 peratus pada tahun 2021 kepada 7.5 peratus pada tahun 2023.
Katanya, meskipun kadar ini masih tinggi berbanding kadar pengangguran kebangsaan, namun trend penurunan ini amat memberangsangkan dan mencerminkan keberkesanan pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi dan modal insan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Namun begitu, katanya data Jabatan Perangkaan menunjukkan Sabah masih berdepan cabaran apabila lebih separuh atau 58.6 peratus daripada jumlah penganggur di negeri ini terdiri adalah golongan belia berumur 15 hingga 24 tahun, manakala 55.8 peratus daripada keseluruhan penganggur hanya mempunyai kelayakan pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah sahaja.
“Angka ini jelas menunjukkan bahawa ramai belia memerlukan latihan kemahiran dan pendidikan lanjutan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, simposium bertemakan ‘TVET Mampan untuk Masa Depan Modal Insan Sabah: Ekosistem TVET Bersepadu’ amat bertepatan dengan keperluan semasa negeri Sabah.
Beliau berharap para peserta dapat memanfaatkan peluang ini untuk mewujudkan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dan pihak industri sepanjang dua hari simposium berlangsung.















Comments