top of page

Ucapan Penuh Presiden UPKO, sempena Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17

  • nabalunews
  • 9 hours ago
  • 15 min read

Saudara Jeffrey Teo, Pengerusi Tetap UPKO.


Yang Berhormat Datuk Donald Peter Mojuntin, Timbalan Presiden UPKO,


Yang Berhormat Senator Datuk Nelson Wences Angang Setiausaha Agung UPKO,


Presiden-Presiden Kehormat UPKO,


Naib-Naib Presiden;


Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Exco-Exco Pergerakan Wanita, Pemuda dan Generasi Muda,


Para perwakilan dan pemerhati Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17.


Salam Sabah Maju Jaya dan Salam Sabah First!


1. Terlebih dahulu marilah kita mengucapkan syukur kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana di atas limpah berkatnya, hari ini merupakan anugerah yang menghimpunkan kita di Hongkod Koisaan bagi Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO yang ke-17.


2. Saya menghargai kehadiran para perwakilan dan pemerhati persidangan yang datang dari seluruh negara termasuk daripada empat Bahagian Penaja iaitu Kalabakan, Batu Sapi, Sandakan dan Semporna.


3. Persidangan tahun ini merupakan titik mula era baharu UPKO dalam politik nasional dengan mempererat dan memperkasa kerjasama dan penyatuan dengan parti-parti tempatan Sabah sepertimana semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


4. Buat pertama kali juga, kita mengadakan persidangan ini di Hongkod Koisaan sebagai usaha kita memupuk mesej perpaduan dan keikhlasan kerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


5. Saya ingin merekodkan penghargaan saya kepada Setiausaha Agung, YB Senator Datuk Nelson Angang dan Setiausaha Esekutif Ibu Pejabat UPKO, Datuk William Sampil serta jawatankuasa yang telah memastikan pelaksanaan mesyuarat agung tritahunan di semua Bahagian berjalan dengan jayanya sesuai dengan kehendak Perlembagaan Parti.


Saudara dan saudari,


6. Semalam kita meraikan sambutan ulangtahun Parti tercinta ini yang ke-32. Sepanjang tempoh ini, UPKO telah melalui pelbagai cabaran serta dinamik politik di peringkat nasional dan juga di Sabah.


7. Kesinambungan kepimpinan telah berlaku daripada Presiden Pengasas, Tan Sri Bernard Dompok kepada Presiden Kehormat, YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau dan kini, saya diberi mandat menggalas amanah ini.


8. Bukan sahaja kesinambungan kepimpinan Presiden yang telah berlaku, tetapi juga kepimpinan Majlis Tertinggi, Exco-Exco Pergerakan serta pimpinan Bahagian dan Cawangan.


9.Sepanjang tempoh 32 tahun tersebut, UPKO pernah . dalam gabungan parti-parti nasional, dan kini berada dalam gabungan parti-parti tempatan Sabah. UPKO yang kini berada dalam Kerajaan juga pernah berada di luar Kerajaan.


10. Saya ingin menegaskan, walau di manapun keberadaan UPKO dan siapa sekalipun yang menerajui kepimpinan UPKO, wawasan dan agenda Sabah First harus menjadi asas kepada perjuangan, perkhidmatan dan pelayanan UPKO sebagaimana negara ini ditubuhkan selepas MA63 ditandatangani pada tahun 1963.


11. Semasa UPKO berada dalam Barisan Nasional (BN) dan kepimpinan diterajui oleh Presiden Tan Sri Bernard, antara agenda Sabah First yang berjaya dilaksanakan ialah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pendatang asing tanpa izin di Sabah.


12. Semasa UPKO berada dalam Pakatan Harapan (PH) dan kepimpinan diterajui oleh Presiden YB Datuk Seri Madius, antara agenda Sabah First yang dituntut ialah memasukkan tuntutan pelaksanaan MA63 dan pelaksanaan pembayaran 40% kutipan hasil yang telah dimasukkan dalam manifesto Kita Boleh PH pada pilihanraya umum tahun 2022.


13. Dinamik politik di Malaysia telah banyak berubah sejak tahun 2018 termasuk memuncaknya kesedaran kita menuntut pelaksanaan penuh MA63 terutama perkongsian hasil dan perlindungan perlembagaan sepertimana yang dipersetujui oleh bapa-bapa pengasas negara ini 63 tahun lepas.


14. Kalau perjalanan Persekutuan Malaysia tersasar daripada landasan yang sepatutnya, maka kita harus balik ke pangkal jalannya. Kita kena kembali kepada semangat asal MA63 di mana Sabah diurus oleh parti-parti tempatan Sabah, Sarawak diurus oleh parti-parti tempatan Sarawak dan demikian juga negeri-negeri di Semenanjung.


15. Sebab itu, selaku Presiden UPKO hari ini, saya berbangga dapat membawa UPKO balik ke pangkal jalan penubuhan Malaysia dengan memperkuat penyatuan parti-parti tempatan Sabah melalui GRS. Saya percaya majoriti rakya' sememangnya mahu parti-parti tempatan terus ber 4/21 bekerjasama dengan lebih kukuh.


16. Kekuatan kerjasama melalui penyatuan parti-parti tempatan Sabah pasti akan memperkukuh kedudukan kita dalam menuntut pelaksanaan penuh MA63.


17. Kita ucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah selaku Pengerusi GRS dan pimpinan tertinggi GRS yang menerima UPKO sebagai parti komponen.


18. Saya juga menerima dengan penuh amanah perlantikan sebagai Timbalan Pengerusi GRS serta perlantikan Timbalan Presiden, YB Datuk Donald dan Setiausaha Agung, YB Senator Datuk Nelson sebagai Ahli Majlis Tertinggi GRS.


Saudara dan saudari,


19. Kita mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan di atas komitmen dan kejayaan mengalahkan sekaligus membatalkan tuntutan tidak sah oleh individu mendakwa waris Kesultanan Sulu yang diputuskan sebelum itu oleh penimbang tara Gonzalo Stampa.


20. UPKO menyokong pendirian Kerajaan Sabah menolak sebarang tuntutan asing ke atas wilayah Sabah.


21. Kita juga menghargai Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan di atas pencapaian pelaksanaan 13 tuntutan MA63 setakat ini, termasuk 11 perkara yang berkaitan dengan Sabah. Kesemua pencapaian ini berlaku semasa Kerajaan Sabah dipimpin oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji sebagai Ketua Menteri.


22. Semasa saya berada di Kerajaan Persekutuan, kita menjadi sebahagian daripada 9 pencapaian tuntutan melalui penglibatan dalam Jawatankuasa Teknikal MA63, Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 dan Kabinet Kerajaan Persekutuan.


23. Kini, selaku Timbalan Ketua Menteri Sabah yang turut menganggotai delegasi Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal dan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63, kita akan terus mempertahan pendirian ke kita ke atas 16 lagi tuntutan MA63 yang selebihnya, samada yang sudah selesai sebahagian, yang sudah mempunyai keputusan dasar atau yang dirujuk ke Jawatankuasa Tertinggi.


24. Dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA 5/21 bersidang pada 3 Ogos baru-baru ini, Kerajaan Saban mempertahankan pendiriannya dan mahu komitmen pelaksanaan daripada Kerajaan Persekutuan, termasuklah keperluan memastikan satu pertiga kerusi Parlimen untuk wilayah Sabah dan Sarawak serta pelaksanaan pembayaran hak 40 peratus Sabah ke atas kutipan hasil persekutuan di Sabah.


25. Dalam mesyuarat tersebut, saya telah menolak kenyataan mengaitkan masalah pembayaran 40 peratus dengan konflik di negara lain, seterusnya mencadangkan agar 40 peratus kutipan hasil persekutuan di Sabah dikekalkan untuk diberikan terus kepada Kerajaan Sabah, dan hanya 60 peratus sahaja yang perlu dimasukkan dalam perbendaharaan persekutuan.


26. Di awal penubuhan Persekutuan Malaysia, pendekatan yang sama pernah dilaksanakan bagi Singapura semasa masih menjadi sebahagian daripada persekutuan negara ini. Justeru saya tidak melihat apa-apa yang mustahil untuk pendekatan yang sama dilaksanakan di Sabah dengan membincangkan mekanisme tadbir urus yang sepatutnya.


27. Saya meminta semua ahli UPKO menyokong pendirian Kerajaan Sabah bahawa sekiranya tidak ada persetujuan dicapai terhadap amaun tuntuan pembayaran penuh 40 peratus, maka pentaksir bebas perlu dilantik untuk menentusahkan amaun yang perlu dibayar kepada Sabah kerana perkongsian hasil inilah antara sebab utama Sabah bersetuju menyertai penubuhan negara Malaysia.


28. Kita mengalu-alukan Keputusan Perdana Menteri meningkatkan amaun pemberian interim daripada RM600 juta kepada RM1.5 billion pada tahun ini, tetapi tidak mungkinlah sampai selama-lamanya Sabah hanya menerima pembayaran interim. Dalam erti kata yang mudah difahami, interim ertinya sementara sahaja.


28. Pendirian UPKO - hak 40 peratus Sabah mesti sepenuhnya!


29. UPKO juga menyokong pendirian Kerajaan Sabah bahawa sempadan wilayah laut, autonomi imigresen dan kuasa penuh ke atas tanah adalah perkara yang tidak boleh dirundingkan kerana perkara-perkara ini merupakan hak Sabah.


Saudara dan saudari,


30. Saya harus menyatakan penghargaan kepada pembuat undang-undang daripada Parti kita di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, iaitu YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, YB Datuk Donald Mojuntin dan YB Senator Datuk Nelson Angang yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan setiap undang-undang yang dibentangkan dibahas dan diperincikan sesuai dengan pendirian UPKO.


31. Hansard telah menjadi rekod dan bukti sumbangan pendirian-pendirian UPKO disampaikan dalam setiap persidangan Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri.


32. Ini termasuklah pendirian Parti yang disampaikan oleh YB Datuk Seri Madius di Dewan Undangan Negeri agar setiap undang-undang persekutuan yang mahu dibentangkan, yang memberi implikasi kepada Sabah, haruslah terlebih dahulu mendapatkan consent atau persetujuan daripada Yang Di- Pertua Negeri Sabah atau Kerajaan Sabah.


33. Pendirian ini juga telah saya sampaikan dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan semasa Peguam Negara dijemput untuk memberi taklimat dalam satu mesyuarat kabinet yang diadakan.


34. Pendirian Parti seperti ini mesti diteruskan dan tidak boleh 'ditarik balik', kerana inilah sebabnya UPKO ditubuhkan iaitu mempertahankan asas dan semangat penubuhan Malaysia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai badan perundangan tertinggi negara.


35. Sebab itu kita mesti menegaskan tuntutan tidak kurang daripada satu pertiga kerusi di Parlimen kepada wilayah Sabah dan Sarawak bagi memberi jaminan perlindungan perlembagaan seperti sepatutnya mengikut semangat asal MA63.


36. Itulah sebabnya kita mesti bersatu, bekerjasama dan berpadu sesama parti-parti tempatan Sabah melalui GRS. Sabah mesti diatur oleh parti-parti tempatan Sabah. Kita boleh memberikan sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan yang memberikan komitmen ke atas pelaksanaan penuh MA63.


37. UPKO juga menyokong cadangan penubuhan Jawatankuasa Antara Parti di Dewan Undangan Negeri untuk memperkasa tuntutan MA63 bagi melengkapi tuntutan dan perundingan yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Sabah.


38. Ketiga-tiga ADUN UPKO juga telah menyokong tiga enakmen reformasi institusi Anak Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri bulan lepas, iaitu Enakmen Mahkamah Anak Negeri 2026, Enakmen Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 serta Enakmen Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Pindaan) 2026.


39. Susulan itu, kita mahu Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) dinaiktaraf menjadi institusi yang mengeluarkan graduan-graduan dalam bidang pentadbiran Mahkamah Anak Negeri sekurang-kurangnya bertahap diploma dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS).


40. ILMAN tidak seharusnya menjadi pusat kursus jangka pendek kepada Ketua-Ketua Kampung semata-mata.


41. Sebab itu, kita mencadangkan supaya ILMAN mempunyai Lembaga Pengarah sendiri supaya memboleh menyumbang kepada keseluruhan ekosistem reform institusi Anak Negeri Sabah.


Saudara dan saudari,


42. Saya menghargai Yang Amat Berhormat Perdana Menteri memberi peluang saya menganggotai Kabinet Persekutuan beliau dengan menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dari bulan Disember 2022 sehinggalah saya memutuskan untuk meletak jawatan atas prinsip pada bulan November 2025.


43. Sepertimana saya katakan, di manapun keberadaan kepimpinan UPKO, wawasan dan agenda Sabah First harus sentiasa menjadi asas kepada perjuangan, perkhidmatan dan pelayanan kita,


49. Saya hargai semua pandangan, teguran dan kritikan yang dilemparkan dalam kepimpinan saya di Kementerian ini, tetapi saya akan terus senyum, terus bekerja, terus berusaha dan biarlah penghujung penggal ini menjadi pengukur kepada hasil kepimpinan.


50. Seminggu yang lepas, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri telah melancarkan operasi dua quay crane yang baharu di Pelabuhan Tawau, kemudahan jentera baharu yang tidak pernah ada di pelabuhan tersebut sebelum ini, sebagai respon kita kepada keperluan penambahbaikan kecekapan operasi Pelabuhan Tawau susulan aduan-aduan yang telah dikemukakan oleh pemain-pemain industri serta susulan inisiatif turun padang sebelum itu.


51. Ini antara yang kita tangani bersama dalam tempoh kurang satu tahun kita memimpin Kementerian ini, susulan Keputusan Kabinet Kerajaan Sabah yang mahu kecekapan operasi pelabuhan-pelabuhan ditingkatkan dan ditambahbaik.


52. Ini termasuklah pengujudan pasukan Task Force Memantau Pelaksanaan 10 Pelan Tindakan Menangani Kesesakan Pelabuhan Kontena Sepanggar yang saya pengerusikan, yang mencakupi pelbagai agensi Kerajaan dan juga persatuan- persatuan pengguna pelabuhan.


53. Kita juga menangani isu pengurusan penjaja di kawasan parkir Sabah Trade Center (STC) dengan melantik Persatuan Usahawan Penjaja dan Peniaga Kecil Kota Kinabalu (PUPPKKK) bagi menyelaras aktiviti pasar malam dan bazaar Ramadhan di kawasan tersebut.


54. Ini antara hasil penyelesaian keperluan berskala besar sehingga kepada isu berskala kecil yang dapat diselesaikan kerana saya memilih untuk terus senyum, terus bekerja, terus berusaha bersama keseluruhan pasukan dalam Kerajaan Sabah.


55. Saya yakin dalam masa terdekat ini, kita akan dapat memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu pembangunan perindustrian dan keusahawanan di Sabah sesuai dengan wawasan dan agenda Sabah First.


56. Saya yakin setiap anggota pimpinan UPKO yang diberi ruang memimpin agensi-agensi, anak-anak syarikat Kerajaan atau menganggotai badan-badan berkaitan Kerajaan atau apa jua amanah yang diberikan, pasti akan memberikan yang terbaik dengan penuh kebertanggungjawaban, dedikasi, integriti dan common sense.


Saudara dan saudari,


57. Saya mengambil tanggungjawab penuh ke atas keputusan pilihanraya umum Sabah pada November tahun lepas bagi kerusi-kerusi yang ditandingi oleh UPKO. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua calon, semua petugas jentera, semua penyokong dan pengundi serta semua rakyat yang mendoakan kita sepanjang pilihanraya tersebut.


58. Selain mempertahankan kemenangan Kadamaian, kita juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Datuk Donald Mojuntin, ADUN Moyog dan YB Datuk Seri Madius Tangau, ADUN Tamparuli.


59. Kemenangan ini adalah amanah, kita mesti laksanakan sebaik-baiknya. Kitalah yang akan menjadi cerminan kepada baik buruknya Parti ini.


60. Bagi menghadapi pilihanraya yang seterusnya, kita mesti mengemukakan cadangan persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Dalam Perlembagaan Persekutuan, kajian semula kawasan

persempadanan pilihanraya ini boleh dilakukan setiap lapan tahun.


61. Bagi kerusi DUN, kerusi yang ada sekarang bermula pada tahun 2020. Tetapi bagi kerusi Parlimen, kerusi yang ada sekarang bermula pada tahun 2004, iaitu 22 tahun yang lalu dan sudah tiba masanya kerusi Parlimen di Sabah ditambah sesuai dengan tuntutan kita satu pertiga kerusi Parlimen yang sepatutnya diberikan kepada wilayah Sabah dan Sarawak.


62. Kita juga akan menginstitusikan peranan Jawatankuasa Penyelaras Kawasan DUN (CLC) dalam Perlembagaan Parti supaya memberi keabsahan dan keyakinan jentera di peringkat DUN yang melengkapkan jentera di peringkat Bahagian (Parlimen).


63. Pengujudan Biro-Biro yang strategik akan dilaksanakan dengan melantik Pengerusi dan ahli-ahli yang mempunyai wibawa, pengalaman, semangat dan kepedulian dalam biro masing-masing bagi menggerakkan pelbagai wacana dan libat urus di lapangan.


64. Biro Keharmonian Kaum antaranya perlu menganjurkan pelbagai wacana supaya politik kaum dan agama tidak melarat ke Sabah. Biro Pendidikan bukan hanya perlu menganjur kem- kem motivasi, tetapi memastikan kesedaran anti-buli menerap kepada rakyat bermula dari usia remaja.


65. Biro Keusahawanan dan Pembangunan Perindustrian perlu meneliti isu dan cabaran yang dihadapi oleh perusahaan- perusahaan tempatan supaya dapatannya menjadi rujukan utama saya dalam mengilhamkan inisiatif-inisiatif berkaitan di MINDET.


66. Biro Guaman dan Perundangan perlu memberi tumpuan kepada perlindungan pemilikan tanah serta membantu Kerajaan meneliti undang-undang lapuk yang perlu diperbaharui.


67. Biro Reform dan Dasar Awam yang akan kita tubuhkan harus responsif kepada dasar-dasar Kerajaan dengan menjadikan data dan dapatan penyelidikan sebagai asas perbincangan.


68. Biro Pendidikan Politik dan Pilihanraya akan memfokus kepada pembangunan bakat-bakat kepimpinan dan persediaan pilihanraya.


69. Bahagian-Bahagian UPKO harus membudayakan penubuhan persatuan-persatuan sivil dan perusahaan sosial termasuk melalui koperasi di Bahagian masing-masing.


70. Bagi ahli-ahli Parti yang ingin menjadi calon dalam pilihanraya akan datang, tampillah bermula sekarang, sertakan hasrat di hati mahu bertanding dengan gerak kerja di lapangan. Di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalannya.


71. Mungkin ada yang bertanya, kalau saya bekerja dan sudah menghabiskan tenaga, masa dan sumber yang banyak di lapangan tetapi tidak juga terpilih menjadi calon maka akan menjadi sia-sia.


72. Saya ingin tegaskan, mereka yang benar-benar mahu memimpin, berkhidmat dan melayani tidak pernah akan mengutarakan pertanyaan seperti ini. Semoga inspirasi daripada Kadamaian selama ini menjadi teladan dan motivasi kepada semua ahli UPKO.


Saudara dan saudari,


73. Parti kita mesti mengambil bahagian dalam tadbir urus negara dan negeri yang lebih baik, terlibat dalam wacana reform institusi dan perundangan serta terus mengambil bahagian dalam perbincangan ke atas isu-isu yang menjadi keprihatinan utama rakyat, daripada tanggungjawab perlembagaan atau perkara-perkara dasar Kerajaan kepada menerajui perjuangan rakyat


74. Saya ingin mengulangi pendirian Parti kita supaya peranan Peguam Negara dan Peguam Cara mesti diasingkan. Ahli-ahli Parlimen kita sebenarnya sudah bersedia membahas dan menyokong pindaan perlembagaan berkaitan ini, namun tidak diteruskan oleh Kerajaan Persekutuan. Pendirian UPKO adalah jelas, dan telah disampaikan di Parlimen serta konvensyen- konvensyen kita selama ini.


75. Parti kita juga mesti terus menyokong penggubalan sebuah akta atau undang-undang berkaitan pendanaan parti politik.


76. Dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sembilan baru- baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memperkenalkan secara rintis Sistem Pengesahan Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA). Kita menyokong inisiatif-inisiatif pendigitalan seperti ini tetapi seharusnya mengadakan libat urus terlebih dahulu dengan parti-parti politik.


77. Kita juga mahu SPR memperkenalkan mekanisme bagi membolehkan rakyat Sabah yang bekerja di Sarawak dan Semenanjung mengambil bahagian dalam mengambil bahagian mengundi dalam pilihanraya di Sabah samada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri tanpa perlu balik ke Sabah, dan begitu juga sebaliknya bagi rakyat Sarawak dan Semenanjung yang bekerja di Sabah.


78. Baru-baru ini, pada bulan Jun yang lepas, mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mendedahkan Perjanjian Petronas yang ditandatangani pada tahun 1976 yang memberikan hanya lima peratus royalti minyak kepada Sabah tidak pernah dibincang dalam mesyuarat kabinet Kerajaan Sabah.


79. Mantan Ketua Menteri Sabah seorang lagi, Tan Sri Harris Salleh bukan sahaja mengakukan kenyataan Tan Sri Pairin tersebut, malah pula menyatakan ianya merupakan jurisdiction Kerajaan Persekutuan dan Parlimen yang telah meluluskan Akta Kemajuan Petroleum 1974.


80. Saya tidak bersetuju sama sekali dengan kenyataan Tan Sri Harris yang memberi indikasi apa-apa Keputusan Kerajaan Persekutuan tidak harus dibawa ke mesyuarat Kabinet. Perjanjian Petronas itu merupakan antara kesilapan besar yang berlaku pada kepimpinan yang lepas.


81. Sebab itu kita mengusulkan dalam Persidangan ini supaya mana-mana undang-undang Persekutuan yang mahu diperkenalkan, yang mempunyai implikasi kepada Sabah, harus mendapatkan consent daripada Yang Di-Pertua Negeri Sabah atau Kerajaan Sabah.


82. Kita juga mahu Perjanjian Petronas tersebut disemak semula kalau betul ianya tidak pernah dibincang dalam mesyuarat Kabinet Kerajaan Sabah, apatah lagi kalau Perjanjian tersebut tidak pernah mendapat consent daripada Yang Di- Pertua Negeri Sabah sepertimana sepatutnya sebagaimana dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.


83. Kita juga mahu pendidikan Bahasa Inggeris diperkasa di sekolah-sekolah di Sabah, memberi ruang kepada lembaga pengelola sekolah bersama persatuan ibu bapa dan guru unruk memilih, samada memperkenalkan English Literature atau menggunakan Bahasa Inggeris dalam pendidikan aliran sains dan TVET.


84. Kita juga mahu mengulangi semula pendirian Parti sebelum ini supaya pindaan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dibuat dengan memasukkan masyarakat Orang Asli agar mendapat perlindungan kedudukan istimewa seperti orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.


85. Kita mahu pelaksanaan penyasaran subsidi diesel Budi Madani ditambahbaik mengikut realiti keperluan sebenar di Sabah dan cadangan-cadangan penambahbaikan daripada UPKO akan dikemukakan melalui Jawatankuasa Khas yang telah ditubuhkan di peringkat Kerajaan Sabah.


86. Kita juga mahu Labuan dibangunkan sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir seperti sepatutnya, dengan semua syarikat kewangan yang berdaftar mesti beroperasi sepenuhnya di Labuan.


Saudara dan saudari.


87. Dalam persidangan ini, kita akan membentangkan enam usul utama, iaitu:-


Usul Pindaan Perlembagaan Parti;


(i)


(ii) Usul Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya Sabah;


(iii) Usul Menuntut Pelaksanaan Sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 serta Memelihara Hak, Kuasa dan Mempertahankan Perlembagaan Sabah;


(iv) Usul Pemerkasaan Tadbir Urus Semasa Kerajaan Melalui Pendekatan Sabah First;


(v) Usul Memperkasa Program Pengurusan Tanah Adat Negeri Sabah Melalui Peruntukan Khas dan Dana Pembangunan Tanah Sabah; dan


(vi) Usul Pembangunan Sumber Tenaga Baharu Hijau dan Lestari serta Kerja Peralihan Tenaga Sabah Bagi Menjamin Bekalan Elektrik Mampan dan Kos Tenaga Yang Berdaya Saing.


88. Saya berharap kesemua usul ini dapat dibahaskan dengan sebaiknya, seterusnya mendapat sokongan padu daripada seluruh perwakilan.


Saudara dan saudari


89. Saya menghargai sokongan yang diberikan oleh semua Bahagian untuk saya sekali lagi memimpin Parti ini bagi penggal berikutnya sehingga tahun 2029 bersama-sama dengan Timbalan Presiden, YB Datuk Donald Mojuntin.


90. Saya akan menggalas amanah dan tanggungjawab ini sebaiknya, seikhlasnya, sejujurnya, secemerlangnya dan seadanya. Saya menginsafi dan mengakui kepimpinan saya sentiasa ada kekurangan dan kelemahannya. Saya tidak pernah bertapuk mengenai ini. Tegurlah saya, tapi bimbinglah juga saya.


91. Sebab itu saya ingin merakamkan penghargaan kepada dua wanita hebat yang turut sama berada di dewan ini. Isteri saya, Connie, yang bertarung nyawa memastikan nama saya ditulis dalam surat beranak anak-anak kami supaya anak-anak boleh menilai apa yang bapa mereka lakukan sepanjang memimpin Parti ini. Dan ibu saya yang bertarung nyawa 43 tahun lepas melahirkan anak lelaki yang comel serta mempersiapkan anak itu untuk berdiri di pentas ini pada hari ini.


92. Mereka berada di sini bukan semata-mata memberi sokongan besar, tetapi mereka memastikan saya terus memimpin dalam landasan perjuangan yang betul kerana merekalah antara sebab saya berdiri di sini hari ini. Kerana selepas memimpin rumah keluarga kecil kami, mereka berdua telah memberi izin kepada saya untuk memimpin rumah keluarga besar UPKO.


93. Saya juga sangat berbangga melihat kesinambungan generasi UPKO yang hadir dalam sambutan ulangtahun Parti semalam dan juga di persidangan ini.


94. Presiden-Presiden Kehormat dan pemimpin-pemimpin pengasas Parti kekal bersama kita. Rakan-rakan pengasas Pergerakan Komulakan UPKO segenerasi saya kini turut sama menawarkan khidmat mereka di Majlis Tertinggi.


95. Saya berbangga melihat anak-anak muda di Pergerakan Generasi Muda ÜPKO hari ini yang sudah bersedia untuk meneruskan kesinambungan perjuangan Parti.


96. Saya merakamkan penghargaan kepada semua yang berjiwa besar memberi laluan kepada rakan-rakan lain dalam pemilihan Naib-Naib Presiden dan pemilihan Ketua Wanita. Saya ingin memberi jaminan bahawa semua yang berjiwa besar ini sentiasa ada peranan dan tempatnya dalam keluarga besar rumah UPKO ini.


97. Saya menghargai semua yang berwawasan besar yang menerima pencalonan bertanding di Majlis Tertinggi dan juga Exco-Exco Pergerakan.


98. Demokrasi dan pemilihan kepimpinan dalam Parti mesti menguatkan Parti kita, bukan melemahkan. Kita-kita juga bah ini.


99. Kepimpinan bermula daripada rumah. Rumahku, syurgaku. Mari segarkan, wangikan, kekalkan keindahan syurga, rumah kita ini. Rumah kita, kita jaga.


100. Terurusnya rumah keluarga UPKO ini, maka itu memberi kredibiliti kepada semua kita untuk mengurus keluarga besar Sabah, bumi tercinta kita dan negara Malaysia yang kita bina bersama ini.


Saudara dan saudari,


101. Tahun ini genap 63 tahun negara Malaysia ditubuhkan. Sabah membangun sebagai wilayah yang merdeka. Kita telah melihat dan menikmati arus pembangunan perdana.


101. Tetapi kita mengakui masih banyak yang perlu dilaksanakan. Ya, pembangunan infrastruktur asas - jalan raya berturap, bekalan air bersih, bekalan elektrik yang tidak putus- putus, liputan telekomunikasi di serata tempat masih menjadi perjuangan berterusan kita dalam Kerajaan.


102. Ya, kemajuan ekonomi, peluang-peluang pekerjaan dan peluang-peluang perniagaan, pembangunan keusahawanan, pembasmian kemiskinan, bantuan kesejahteraan rakyat harus terus menjadi agenda kita dalam Kerajaan.


103. Di sebalik keinsafan ini, kita sebenarnya juga telah melihat rakyat Malaysia daripada Sabah telah berjaya dengan cemerlang sehingga ke persada dunia.


104. Cikgu Dr Velerie Wheelervon Primus dari SK Bingkor, Keningau menerima pengiktirafan antarabangsa Cambridge Dedicated Teacher Awards 2026 kerana dedikasi dan perubahan signifikan sektor pendidikan khas di sekolahnya.


105. Saudara Gerald Wong, dari desa jauh nun di Nangoh, memenangi anugerah ASEAN Rural Development and Poverty Eradication Leadership Award kerana dedikasinya dalam perusahaan sosial membangun komuniti desa mendapatkan sumber pendapatan tambahan.


106. Saudari Viviantie Lajuti menerima Anugerah Public Social Innovator of the Year 2026 daripada Schwab Foundation for Social Entrepreneurship dengan kerjasama World Economic Forum kerana dedikasinya kepada gerakan peusahaan sosial di negara ini.


107. Saudara Daved Simpat, porter di Gunung Kinabalu yang membawa obor Kinabalu ke banyak tempat di seluruh dunia, berlari sebagai atlit elit yang telah memenangi banyak kejohanan di dalam dan luar negara kerana dedikasinya kepada bidang sukan larian berjarak jauh.


108. Usahawan-usahawan tempatan Sabah yang kini sudah menembusi pasaran antarabangsa, Jalina Jahari dengan kerepek ubi; Idah Samsuddin dengan produk udang kering; Chan Keng Sii dengan pelbagai produk snek; Edmund Liew dengan produk amplang dan Norsiah Ahiddin dengan produk kosmetik dan kesihatan diri.


109. Ini antara kisah kejayaan anak-anak Sabah di peringkat antarabangsa, kerana mereka memilih untuk terus senyum, terus bekerja, terus berusaha. Kejayaan mereka adalah inspirasi buat semua kita, motivasi yang harus mendidik kita, bahawa 'kalau diurang boleh, semua kita juga boleh berjaya seperti diurang'.


Saudara dan saudari,


110. UPKO mesti menjadi Parti yang boleh memberi inspirasi, boleh mencetus rasa hormat. Kepimpinan Parti mesti ada keberhasilannya. Justeru, mari jadikan dedikasi kita, kecekalan kita, integriti kita, prinsip kita, semangat kita, perilaku kita dan cara senyum kita sebagai permulaan kepada kepimpinan yang berhasil.


111. Dalam kita bertegas atas prinsip, mesti ada sopan santun dan rasa hormat. Dalam rasa hormat, mesti ada cinta kasih. Inilah pendekatan common sense leadership yang mesti memandu setiap kita di Parti ini.


112. Saya doakan agar semua yang hadir di persidangan ini diberkati dengan kesihatan, kesejahteraan dan kejayaan dalam apa jua urusan terutamanya perjuangan, perkhidmatan dan pelayanan kita di dalam UPKO.


113. Dengan rasa keinsafan bahawa perjuangan ini mesti diteruskan meskipun penuh cabaran, dengan motivasi bahawa kecekalan, komitmen dan dedikasi akan memandu kepada


keberhasilan kepimpinan, mari sama-sama kita bangkit memperingkatkan sebab kita berhimpun pada hari ini memimpin rakyat melalui UPKO untuk Wawasan dan Agenda Sabah First dan untuk negara tercinta kita, Malaysia.


UPKO!

UPKO!

UPKO!

UPKO!

UPKO!

Sabah First!

Sabah First!

Sabah First!

Sabah First!

Sabah First!

Sekian, terima kasih.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page