top of page

Umat Islam wajar terus jadikan Rasulullah sebagai contoh teladan terbaik - PM Anwar

  • nabalunews
  • Sep 16, 2024
  • 1 min read

16 September 2024


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa umat Islam perlu terus menjadikan Nabi Muhammad SAW, yang merupakan murabbi terulung dan teragung, sebagai 'Uswatun Hasanah' atau contoh teladan terbaik, terutama ketika dunia sedang berdepan dengan kemarau nilai moral dan teladan yang baik.


Perdana Menteri menekankan bahawa nilai-nilai ini harus dijadikan panduan dalam menangani cabaran masa kini.


“Cita-cita negara yang MADANI tidak lepas dari mengambil ibrah (pengajaran) dan model Piagam Madinah yang dipelopori Baginda, berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan bertiangkan keadilan dan ihsan,” katanya dalam catatan di Facebook sempena Maulidur Rasul hari ini.


Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024/1446H yang bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI’ diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.


Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke sambutan tersebut, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri dan kira-kira 6,000 tetamu.


Sementara itu, dalam satu lagi hantaran di Facebook, Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2024.


Anwar turut mengucapkan tahniah kepada enam lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, iaitu Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia Datin Aminah Zakaria, Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah Datuk Ab Jamal Sakaran dan Pakar Mikrobiologi Datin Prof Dr Khatijah Mohamad Yusoff.


Penerima lain termasuk bekas Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia, Prof Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain; Presiden Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia, Sariah Ibrahim; serta Michael Tong Wai Siong, yang lebih dikenali sebagai 'Uncle Mike'.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page