top of page
  • Wartawan Nabalu News

UMS akan laksana Program Pemindahan Ilmu di Pusat Pelancongan Morimpunan Campsite Ratau


20 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pusat Khidmat Adun Kadamaian dan Pusat Pelancongan Komuniti Kg.Ratau akan bekerjasama melaksanakan Program Pemindahan Ilmu (KTP) menerusi Pembentukan Komuniti Tertumpu bagi membantu komuniti pengusaha pelancongan di Kadamaian.


Pengarah PKLM Dr. Elia Godoong berkata, pihaknya bersetuju dengan tapak cadangan perlaksanaan projek KTP menerusi program Komuniti Tertumpu di Pusat Pelancongan Morimpunan Campsite, Kg.Ratau Kota Belud.


“Kami telah mengadakan tinjauan di pusat pelancongan itu dan berbincang dengan wakil Morimpunan Campsite.

“Hasil perbincangan, kami telah mengenalpasti beberapa potensi aktiviti dan program yang boleh memberikan impak positif kepada pembangunan sosio-ekonomi komuniti setempat,” katanya.


Tinjauan tapak cadangan dan taklimat projek KTP itu turut dihadiri oleh wakil Pusat Khidmat Adun Kadamaian dan Pusat Pelancongan Komuniti Morimpunan Campsite Kg.Ratau.


Idea melaksanakan projek KTP di kampung itu tercetus selepas perjumpaan Pegawai Perhubungan Pusat Khidmat Adun Kadamaian Carlye Lajimin dengan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UMS Prof. ChM. Ts. Dr. Coswald Stephen Sipaut.


Carlye mencadangkan supaya UMS melaksanakan program KTP di kawasan Kadamaian bagi membantu para pengusaha pelancongan komuniti.

“Bagi pihak Jawatankuasa persatuan pelancongan Morimpunan Campsite kami merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada pihak UMS atas kesudian melawat dan meninjau tapak cadangan program,” katanya.


Sementara itu Pengerusi Pelancongan Komuniti Ratau Lajimin Luntab berharap, lawatan ke pusat pelancongan Morimpunan Campsite itu dapat mencetuskan idea baharu untuk membangunkan pusat pelancongan itu.


“Kami juga berterima kasih kepada Datuk Ewon Benedick, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi atas sokongan berterusan kepada pengusaha pelancongan di Kadamaian,” katanya.

Comments


bottom of page