top of page
  • Wartawan Nabalu News

UMS jalin kerjasama bidang virologi dengan Makmal Diagnosa Veterinar


Jualang (empat dari kanan) dan Ag. Muhammad Sagaf (empat dari kiri) bersama kakitangan FSSA dan MDV pada majlis menandatangani LoI.

4 Julai 2023

oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani surat niat (LoI) bersama Makmal Diagnosa Veterinar (MDV) bertempat di Smart Space FSSA, baru-baru ini.


Dekan FSSA, Profesor Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau berkata, LoI itu antara lain bertujuan berkongsi kepakaran dan pengetahuan melalui aktiviti pengajaran dan penyelidikan.


Selain itu katanya, melalui LoI ini persampelan virus daripada MDV dapat dilaksanakan bagi aktiviti penyelidikan pelajar sarjana.


“Di samping itu, ia juga bagi memberi ruang untuk perkongsian pengetahuan dan pendedahan kepada bidang virologi di lapangan melalui lawatan akademik pelajar untuk Kursus Virologi SY22902 dalam Program Bioteknologi,” katanya.


Menurut Jualang, kolaborasi dalam bidang penyelidikan antara dua entiti ini juga mampu menghasilkan jurnal yang berimpak tinggi kelak.


“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada MDV Kota Kinabalu atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.


“Sudah tentu kolaborasi UMS dan MDV Kota Kinabalu ini akan memberi impak positif kepada bidang pengajaran dan penyelidikan pelajar-pelajar Program Bioteknologi khususnya dan juga kepada masyarakat setempat secara amnya,” katanya.


Pada majlis menandatangani LoI tersebut, Jualang mewakili FSSA manakala MDV diwakili oleh Pegawai Penyelidik MDV Kota Kinabalu, Ag. Muhammad Sagaf Abu Bakar.


Hadir sama Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee; Ketua Program Bioteknologi, Profesor Madya Dr. Mohd Khalizan Sabullah; Pensyarah Program Bioteknologi, Hartinie Marbawi dan Ketua Pentadbiran FSSA, Aidah Noordin.




Kommentare


bottom of page