UMS menang kumpulan terbaik di YOCA 2022
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UMS menang kumpulan terbaik di YOCA 2022


Juhan (lima dari kiri) bersama 9 pelajar UMS meraikan kemenangan di YOCA 2022.

8 Sept 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sembilan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) memenangi anugerah Pembentangan Produk Kraf dan Strategi Pemasaran Terbaik (Berkumpulan) di Youth Craft for Asia (YOCA), Arts and Crafts Showcase 2022 sempena Persidangan Tahunan Belia Kali Pertama yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1-4 September lalu.

 

Pasukan UMS yang terdiri daripada tujuh pelajar Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) dan dua pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan (FSSK) yang ditaja sepenuhnya oleh Sabah Creative Economic and Innovation Center (SCENIC) ini berjaya menewaskan 31 wakil institusi pengajian tinggi awam, swasta serta agensi dari Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina termasuklah dari Malaysia.

 

Menurut Pegawai Pengiring, Juhan Junaidi berkata, pasukan UMS membentangkan produk Happy Potato yang bercirikan konsep ekopelancongan.

 

“Rekaan grafik produk yang dibentangkan memaparkan lokasi dan budaya menarik yang terdapat di setiap negeri di Malaysia seperti motif dan corak Sabah, Jambatan Angkat Terengganu, Menara Condong Teluk Intan Perak dan banyak lagi.

 

“Produk ini merupakan identiti atau ikon dalam industri pelancongan yang mempunyai maklumat mengenai tempat-tempat menarik yang berada di Malaysia sebagai panduan kepada para pelancong dalam dan luar negara untuk pergi ke kawasan yang hendak dikunjungi,” katanya ketika ditemui media hari ini.

 

Beliau yang juga pelajar pascasiswazah ASTiF menambah, pertandingan yang disertai ini memerlukan setiap kumpulan membentang idea selama 12 minit di hadapan juri pertandingan.

 

“Semasa pembentangan, keupayaan pasukan UMS menyampaikan idea produk yang boleh membantu industri pelancongan yang terkesan apabila pandemik Covid-19 melanda dunia telah memberikan kemenangan ini.

 

“Ideanya ialah apabila menerima kunjungan pelancong, produk yang dibentang ini akan menjadi hadiah atau cenderamata kepada pelancong dan produk edisi khas akan dikeluarkan semasa menyambut perayaan tertentu.

 

“Produk tersebut juga boleh digunakan sebagai tong sampah mini bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

 

Juhan juga berkata, strategi pemasaran yang digunakan adalah dengan menggunakan bungkusan yang menarik dan berkolaborasi dengan syarikat seperti Shopee untuk membuat jualan mega.

 

“Kaedah pengiklanan yang digunakan pula ialah melalui aplikasi YouTube dan TikTok. Selain itu kaedah promosi dalam laman web rasmi juga digunakan untuk mendapatkan stok yang mencukupi dengan harga yang lebih murah.

 

“Menariknya lagi, perisa yang digunakan adalah perisa balado dan wasabi yang juga hasil daripada kolaborasi dengan syarikat lain,” katanya.

 

Program selama 4 hari tersebut dianjurkan SukaSeni dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang memfokuskan pembangunan industri ekonomi kreatif dan pertukaran budaya.

 

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page