top of page

UMS Rai Hari Gajah Sedunia, Perkukuh Komitmen Pemuliharaan Gajah Borneo

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

ree

23 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan Sambutan Hari Gajah Sedunia 2025 peringkat universiti yang berlangsung di Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, baru-baru ini dengan menekankan peranan penting pemuliharaan gajah Borneo.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, pemuliharaan gajah merupakan amanah kolektif melibatkan kerajaan, sektor swasta, NGO, komuniti tempatan, institusi pendidikan dan setiap individu.

“Pemuliharaan bukan hanya tentang menyelamatkan gajah, tetapi juga tentang masa depan kita.

ree

“Generasi muda harus menjadi penggerak, bukan sekadar pemerhati dan setiap dari kita boleh memainkan peranan sama ada melalui pendidikan, penyelidikan, advokasi atau gaya hidup yang lebih mesra alam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena program Sambutan Hari Gajah Sedunia 2025 peringkat UMS.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Tambah Abdul Rahman, usaha UMS melalui IBTP dalam memacu penyelidikan biodiversiti wajar dipuji khususnya dalam kajian berkaitan pemuliharaan gajah Borneo.

“Kejayaan ini diperkuat dengan pengiktirafan antarabangsa yang diperoleh oleh penyelidik IBTP, Dr. Nurzhafarina Othman yang menerima pengiktirafan sebagai penerima anugerah Whitley 2025, sekali gus mengangkat nama UMS di persada global.

“Kerjasama strategik antara UMS dan NGO Seratu Aatai juga telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif seperti penyelidikan terhadap tingkah laku gajah, pendidikan komuniti, dan penglibatan masyarakat dalam mitigasi konflik gajah dan manusia.

“Usaha-usaha ini menjadi contoh pendekatan holistik yang wajar diteruskan,” ujarnya.

Pada sambutan tersebut, turut diadakan sesi perkongsian ilmu, pameran interaktif serta program kesedaran yang melibatkan pelbagai pihak sebagai usaha memperkukuh pemahaman masyarakat tentang pentingnya melindungi spesies gajah pigmi Borneo yang unik.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, Pengarah IBTP UMS, Profesor Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim dan Pengerusi Seratu Aatai, Dr. Fauzi Sarjono.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page