- Wartawan Nabalu News
Undi 18 bukan hak undi semata-mata tetapi hak untuk tentukan masa depan negara: MUDA
21 sept 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Pengarah Dasar Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (MUDA), Dr Teo Lee Ken menegaskan bahawa Undi18 bukan untuk tujuan membuang undi semata-mata tetapi merupakan hak golongan muda untuk menentukan masa depan negara, dan rupa bangsa negara yang diidamkan.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Undang-undang, Datuk Seri Wan Junaidi di Dewan Rakyat hari ini bahawa kerajaan membuat keputusan untuk tidak membuat rayuan berkaitan Undi18 perlu dilaksanakan menjelang 31 Disember tahun ini.
“Kami mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Wan Junaidi hari ini bahawa kerajaan dan Suruhanjaya Pilihanraya akan melaksanakan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik selewatnya 31 Disember ini.
“Langkah ini bagi memastikan golongan muda dan rakyat Malaysia sentiasa ada peluang untuk memilih wakil-wakil rakyat yang kompeten untuk membentuk Parlimen bertaraf antarabangsa setanding dengan negara-negara maju yang lain,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Dr. Teo lagi, hujah tiga wakil rayat di Parlimen semalam yang tidak dapat menjawab persoalan fundamental dengan baik menunjukkan bahawa Undi18 penting bagi memastikan rakyat dapat memilih wakil rakyat dan pemimpin politik yang lebih baik.
“Kita mendengar bagaimana hujah tiga wakil rakyat di Parlimen semalam yang tidak dapat menjawab persoalan fundamental dengan baik.
“Salah seorang meletakkan bencana alam kepada takdir Tuhan. Manakala seorang lagi ketika ditanya tentang kebajikan keluarga khususnya ibu bapa memberi jawapan yang berbeza menjawab pula tentang kebajikan kanak-kanak.
“Satu lagi, memberi data survei tanpa perihalkan latar belakang survei dan asal usulnya. Ketiga-tiganya merupakan menteri daripada kementerian yang mustahak kepada daya hidup negara dan bangsa,” katanya.
Dr Teo berkata, mereka akan terus mengikut rapat proses pelaksanaan Undi18 dan sentiasa menyokong padu hak dan kebajikan golongan muda, dan rakyat Malaysia.
“Kami percaya bahawa sebagaimana sebuah negara dan bangsanya menjadi gemilang berkat perjuangan dan pergorbanan rakyatnya dan anak-anaknya, kemiskinan dan masalah negara juga berpunca daripada pemimpin yang korup dan tidak kompeten,” katanya.
Commenti