UNDI18 PERLU DISEGERAKAN - DR LEE KUOK TIUNGUNDI18 PERLU DISEGERAKAN - DR LEE KUOK TIUNG
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UNDI18 PERLU DISEGERAKAN - DR LEE KUOK TIUNG


Dr Lee Kuok Tiung

26 Mac 2021


Semalam (25 Mac 2021) Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Abdul Ghani Salleh telah mengeluarkan kenyataan penangguhan penggunaan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 kepada suatu tarikh yang dijangkan selepas 1 September 2022.


Hal ini mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat kerana sekitar suku keempat tahun 2019 telah ada pengumuman daripada Jabatan Perdana Menteri Undi18 dan pendaftaran secara automatik mampu dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada Julai 2021.



Dengan desas-desus Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 semakin menarik perhatian, benarkah ada pihak yang takut dengan Undi 18 ini?


Meskipun secara peribadinya saya menyokong umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun tetapi tidak bagi pendaftaran secara automatik, ada beberapa perkara yang boleh disentuh untuk mendapatkan pencerahan bagi maksud pengesahan mahupun pemeriksaan fakta (fact-checking).


Tidak apa, alasan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan faktor utama penangguhan ini kita terima. Memang boleh diterimapun sebab semua program libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan telah tertangguh dan kerja dari rumah (work from home) sudah pastinya sedikit-sebanyak melengahkan proses semakan dan penyelarasan data.


Seperkara utama yang mungkin SPR boleh tolong bagi pencerahan ialah angka 5.6 juta itu biarpun ada diberikan pecahannya 1.2 juta adalah warganegara yang berumur di antara 18 hingga 20 tahun manakala 4.4 juga adalah mereka yang berumur 21 tahun ke atas yang belum mendaftar sebagai pengundi kerana sebelum ini telah dilaporkan dalam media ianya akan melibatkan penambahan 7.8 juta pengundi baharu.



Barangkali boleh semak semula dalam hansard parlimen maksud angka 7.8 juta tersebut agar tiada pihak yang nakal tampil dengan interpretasi yang memesongkan dengan perbezaan 2.2 juta pengundi tersebut.


Kita tidak lupa keputusan mengejutkan lebih dua pertiga ahli-ahli parlimen dari kerajaan dan blok pembangkang pada Julai 2019 meluluskan Rang Undang-undang (RUU) meminda Perkara 119(1)(a), Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan kelayakan umur mengundi dari 21 ke 18 tahun dan juga Perkara 47(b) untuk menurunkan umur layak menjadi calon dari 21 ke 18 tahun.


Kesemua 211 ahli parlimen yang hadir pada sesi tersebut yang menyokong usul tersebut sebenarnya telah menunjukkan keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap peranan remaja berumur 18 tahun dalam proses demokrasi negara kita.


Soal matang atau tidak itukan sebenarnya adalah subjektif kerana tiada siapa-siapa boleh menyatakan pengundi sedia ada adalah matang. Siapa yang ingin diundi atas sebab apa itu semua adalah hak pilihan masing-masing.



Melemparkan tomahan atau tuduhan pihak lawan menang kerana politik wang mahupun sebarang salahlaku sewaktu proses pilihan raya sudah hampir menjadi norma atau adat setiap kali sebaik selesai pilihan raya.


Moral ceritanya terpulang kepada penafsiran individu masing-masing.


Rata-rata menyedari bukan skop bidang kuasa SPR menyiasat ketulenan MyKad mahupun sijil lahir seseorang tetapi perlu juga ada langkah-langkah khas untuk meyakinkan rakyat daftar pengundi adalah bersih daripada pengundi hantu.


Apa yang penting pada waktu ini adalah pencerahan daripada SPR yang lebih terperinci faktor-faktor yang menyebabkan kelewatan ini sama ada nak melaksanakan program pendidikan untuk meningkatkan tahap literasi demokrasi dalam kalangan generasi baharu ini ataupun memerlukan sedikit masa lagi untuk menenangkan pihak-pihak yang telah meluahkan kemusykilan mereka terhadap anak-anak muda yang sebahagian besarnya masih di bangku sekolah terlibat dalam proses demokrasi negara.


Bayangkan wajah cikgu itu jikalau ada anak muridnya seorang ahli parlimen duduk dalam kelasnya? Imaginasi sahaja.


Sedikit masa lagi akan genap tiga tahun berlalu dan semua pihak-pihak yang terlibat mempunyai kewajiban untuk menyegerakan pelaksanaan Undi18 ini.


Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung

Ketua Program Komunikasi,

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan,

Universiti Malaysia Sabah



bottom of page