UPKO Bahagian Kota Marudu sampaikan bantuan kepada mangsa bencana, sumbangan pendidikan di Matunggong
26 September 2024
KUDAT: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meneruskan komitmen untuk melaksanakan program-program kebajikan bagi manfaat komuniti setempat.
Bertempat di Matunggong pada 23 September lalu, tiga keluarga mangsa bencana yang mengalami kerosakan rumah akibat atap diterbangkan angin kencang, menerima bantuan zink dari UPKO Bahagian Kota Marudu.
Manakala seorang pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) turut menerima sumbangan.
Sumbangan ini disampaikan oleh Setiausaha Bahagian UPKO Kota Marudu, Jomius Bisara yang mewakili Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, Jamil Majingkin.
Program sumbangan ini mencerminkan keprihatinan UPKO terhadap kesejahteraan komuniti serta komitmen dalam menyokong pembangunan pendidikan dan masa depan anak muda di kawasan Matunggong.
Bantuan kepada keluarga yang terjejas akibat bencana alam diharap dapat meringankan beban mereka.
Manakala bantuan pendidikan kepada pelajar IPT bertujuan memotivasikan pelajar berkenaan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik.
Dalam ucapan ringkasnya di majlis ini, Jomius merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden UPKO, YB Datuk Ewon Benedick, atas sumbangan beliau untuk menjayakan program kebajikan ini.
“UPKO Kota Marudu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden UPKO, YB Datuk Ewon Benedick atas sumbangan beliau kepada CLC UPKO Matunggong. Sumbangan ini diharapkan dapat membantu masyarakat yang memerlukan serta memberikan semangat kepada pelajar yang menerima bantuan untuk berjaya dalam pengajian mereka.”
Menurutnya sokongan moral dalam bentuk sumbangan pendidikan ini jelas menunjukkan betapa pentingnya aspek pendidikan terutama untuk golongan muda di kawasan pedalaman seperti Matunggong dalam membina masa depan yang lebih cerah.
Comentarios